Harga barangan keperluan sudah menunjukkan trend penurunan - Utusan Malaysia

Harga barangan keperluan sudah menunjukkan trend penurunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga barangan keperluan di seluruh negara sudah mula menunjukkan trend penurunan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia diperoleh berdasarkan maklum balas diterima melalui operasi pemantauan harga dijalankan Pegawai Pemantau Harga di 72 pejabat cawangan KPDNHEP seluruh negara.

Beliau berkata, harga purata ayam bersih standard turun daripada RM9.21 kepada RM9.04 sekilogram, telur ayam gred B (30 biji) turun dari RM12.67 kepada RM12.62 dan sayur-sayuran turun sebanyak 4.26 peratus hingga 17.47 peratus hasil daripada pematuhan premis.

“Trend penurunan harga itu berlaku hasil pelbagai usaha dan tindakan proaktif kementerian dalam menangani isu kenaikan harga barangan keperluan yang dimulakan sejak awal Disember lalu.

“Antaranya Op Menu, Op Pasar, Inisiatif Membantu Rakyat, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dan Inisiatif Kawalan Harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM),” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pelaksanaan PJKM turut memberi impak positif yang mana barangan keperluan harian dapat dipasarkan pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

Jelasnya lagi, sambutan yang diterima daripada pengguna bagi PJKM adalah menggalakkan dengan pengunjung seramai 28,985 orang dan hasil jualan sejumlah RM423,844.06.

Alexander berkata, bersandarkan langkah-langkah yang diambil ini serta sentimen dan reaksi pasaran domestik terhadap rangkaian usaha kerajaan, KPNDHEP menjangkakan ia bakal memberi kesan kepada kestabilan harga barangan keperluan.

Menurutnya, pihaknya mengunjurkan kestabilan harga dapat dicapai pada pertengahan suku pertama 2022 iaitu pada penghujung Januari atau Februari 2022.

“Kestabilan ini juga akan menerima kesan positif daripada pembukaan dan pemulihan ekonomi dunia pada tahun 2022.

“Pelaksanaan inisiatif tersebut juga adalah melengkapi usaha yang sedang dilaksanakan sama ada di peringkat pemantauan, penguatkuasaan dan advokasi kepenggunaan sedia ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN