Guan Eng minta rasuah 10 peratus - ahli perniagaan - Utusan Malaysia

Guan Eng minta rasuah 10 peratus – ahli perniagaan

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri perbicarakan tuduhan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Lim Guan Eng pernah meminta rasuah 10 peratus hasil daripada keuntungan yang diperoleh oleh syarikatnya berhubung pelaksanaan projek terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu yang dianggarkan menelan kos RM7 billion.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 62, berkata, menurut pemahaman beliau, nilai 10 peratus itu adalah rasuah yang perlu diberikan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu selepas syarikatnya, Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) dianugerahkan projek berkenaan.

Walaupun terkejut dengan permintaan tersebut, saksi pendakwaan ke-23 itu bersetuju untuk memberikan keuntungan 10 peratus yang akan diperoleh oleh syarikatnya.

“Saya agak terkejut dan tidak menyangka perkara itu keluar daripada mulut Lim Guan Eng yang selama ini saya ingat seorang yang menentang rasuah, beliau tersenyum apabila saya bersetuju dengan permintaan itu,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri itu.

Zarul Ahmad berkata, perkara itu dinyatakan oleh Guan Eng dalam kenderaan ketika beliau menghantarnya pulang ke hotel di Mid Valley di sini selepas mengadakan pertemuan di sebuah restoran masakan Itali di Jalan Ampang pada awal bulan Mac 2011.

Ujarnya, ketika itu, Guan Eng mencadangkannya mengatur perjanjian persefahaman (MoU) antara BUCG dengan Kerajaan Pulau Pinang yang akan disaksikan oleh Perdana Menteri China yang mengadakan lawatan di negara ini.

“Guan Eng beritahu, jika saya dapat melaksanakan majlis MoU itu, projek tersebut akan diberikan kepada saya secara rundingan terus dan saya rasa sangat teruja,” ujarnya.

Menurut ahli perniagaan itu, beliau kemudian bertemu Guan Eng pada Mei 2011 iaitu dua bulan selepas itu untuk menuntut janji namun kecewa apabila tertuduh berpaling tadah (U-turn).

Ujarnya, Guan Eng menyatakan beliau terpaksa memanggil tender terbuka untuk projek itu, bukannya melalui rundingan terus seperti yang dijanjikan pada peringkat awal.

Menurut saksi, Guan Eng bagaimanapun berjanji untuk membantunya mendapatkan projek berkenaan dan mengarahkan pegawai-pegawainya memberikan kerjasama penuh dan meminta permohonan cadangan Request For Proposal (RFP) dipercepatkan.

Menurut saksi, beliau yakin akan dianugerahkan projek itu secara rundingan terus seperti yang dijanjikan kerana beliau diminta mendapatkan maklumat yang diperlukan dalam penyediaan RFP.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah CZBUCG yang ditubuhkan untuk bekerjasama dengan BUCG dari China untuk membida projek tiga jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Beliau bagaimanapun ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan direman bagi membantu siasatan berkaitan projek tersebut.

Ujarnya, beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam BUCG dan hanya bertindak sebagai broker yang membida projek-projek di negara ini sekitar 2010.

Dalam keterangannnya, Zarul Ahmad menyatakan, beliau diperkenalkan kepada Guan Eng oleh bekas menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sekitar Januari 2011.

Jelas beliau, dalam satu pertemuan di sebuah hotel di sini, Mohamed Nazri hadir bersama Guan Eng dan beliau telah menyampaikan hasrat untuk menawarkan khidmat BUCG melaksanakan projek infrastruktur di Pulau Pinang.

Menurut Zarul Ahmad, beliau memaklumkan pernah mengadakan usahasama dengan BUCG memasuki tender projek MRT Sungai Buloh-Ampang.

Ujarnya, beliau dan pihak BUCG kemudian mengadakan pertemuan dengan Guan Eng di KOMTAR sebulan kemudian untuk mendengar taklimat secara umum berhubung projek terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu.

Menurut saksi, ketika taklimat pertama itu, Guan Eng memberitahu beliau dan wakil BUCG bahawa projek itu akan dibiayai melalui penukaran hak milik tanah (land swap) iaitu kerajaan negeri membuat pembiayaan menggunakan tanah, bukan melalui bayaran.

Bagaimanapun, Zarul Ahmad menyatakan, Guan Eng tidak menjelaskan nilai penukaran hak milik tanah atau nilaian projek dan bagaimana cara projek itu diberikan.

Ujarnya, selepas pertemuan itu Guan Eng turut mengarahkan pelan dan maklumat yang lebih terperinci diberikan kepada pihak BUCG bagi membolehkan syarikat itu mengemukakan kertas cadangan.

Saksi berkata, beliau turut memaklumkan akan memastikan satu perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China berhubung projek berkenaan.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta.

Suapan itu sebagai tindakan membantu syarikat CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek bernilai berbillion ringgit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Mac tahun depan.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya