GPS didakwa hipokrit luluskan MA63 - Utusan Malaysia

GPS didakwa hipokrit luluskan MA63

TONNY UNG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mendedahkan ‘kemunafikan’ Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju dari DAP, Tonny Ung berkata, ia berikutan gabungan tersebut sendiri yang menurunkan taraf dan status Sarawak pada tahun 1976 disusuli tindakan tidak mengundi untuk pindaan perlembagaan yang sama pada tahun 2019.

“Sebagai rakyat negeri ini, saya gembira tentang pindaan berkenaan yang selama ini menjadi perjuangan DAP sejak status Sarawak diturunkan berpuluh tahun lalu.

“Ironinya, GPS pula mengundi meluluskan undang-undang ini semalam. Justeru, DAP kecewa dengan pemimpin-pemimpin GPS yang kelihatan mempermainkan kedaulatan Sarawak demi agenda politik mereka.

“Jika GPS tidak mengundi untuk menurunkan status rakan kongsi Sarawak ketika itu, tiada keperluan untuk meminda dan meluluskan perlembagaan semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia setelah memperoleh sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada: (a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan (b) Negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Pada 9 April tahun lalu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bercadang meminda perlembagaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sawarak namun tidak dapat diluluskan di peringkat dasar setelah gagal mendapat sokongan dua per tiga ahli Dewan Rakyat.

PH ketika itu memerlukan sokongan 148 anggota parlimen bagi meluluskan pindaan tersebut, namun, ketika undian dijalankan, hanya 138 ahli Parlimen menyokong manakala 59 lagi berkecuali termasuk pemimpin-pemimpin GPS. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN