PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan pertambahan enam kluster Covid-19 baharu selepas semalam, turut mencatatkan enam kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan enam kluster itu menjadi keseluruhan kluster aktif sebanyak 228 kluster.
“Selain itu, 5,737 kluster yang telah tamat direkodkan manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,965 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 5,551 kes manakala semalam, 5,806 kes sekali gus diatasi 5,301 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 499 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 269 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 5,551 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 78 kes (1.4 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya, 5,473 kes (98.6 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 47 kes berbanding kelmarin, 49 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 30,521 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 12 daripada 47 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,177 kes.










