Dua suspek curi Toyota Hilux ditahan - Utusan Malaysia

Dua suspek curi Toyota Hilux ditahan

PERALATAN yang digunakan untuk mencuri kenderaan Toyota Hilux turut dijumpai susulan penahanan dua orang lelaki di Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kegiatan curi kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux di Negeri Sembilan sejak awal bulan ini berjaya ditumpaskan dengan penahanan dua orang lelaki semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai berkata, kedua-dua suspek berusia 47 dan 56 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada pukul 11.30 malam di Taman Perumahan Asahan, Melaka.

“Dalam serbuan ini, pihak polis telah menjumpai sebuah kenderaan dan pelbagai jenis peralatan digunakan oleh suspek untuk mencuri kenderaan jenis Toyota Hilux.

“Ini termasuk empat unit kawalan elektronik (ECU) Toyota Hilux yang telah diubah suai, mesin pengisar, mesin cordles (tanpa wayar), pemotong wayar dan pelbagai peralatan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Izzudin berkata, kenderaan yang dicuri biasanya untuk pasaran ke luar negara dan pihak polis tidak menolak kemungkinan kumpulan itu juga bergiat aktif melakukan kecurian di negeri lain.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek tersebut, pihak polis Negeri Sembilan berjaya menyelesaikan dua kes curi Toyota Hilux yang berlaku di negeri ini awal bulan Disember lalu.

“Setakat ini kedua-dua suspek masih ditahan reman bermula 15 hingga 17 Disember 2021 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun atau dikenakan hukuman denda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN