Didakwa tipu pelaburan: Suami isteri diculik, dipukul - Utusan Malaysia

Didakwa tipu pelaburan: Suami isteri diculik, dipukul

MAHKAMAH Majistret, Ayer Keroh, Melaka tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh 18 Januari 2022 sebagai sebutan semula kes. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara tidak berpuas hati ditipu sepasang suami isteri dalam pelaburan membabitkan kerugian RM9.5 juta, enam individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik dan memukul pasangan itu, minggu lalu.

Tertuduh, Moe Chern Wei, 29; Fong Chong Yong, 25; Seow Kwee Chiew, 50; Chong Siow Chiew, 46; Kua Siew Mei, 37, dan Siah Soon Siong, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja empat pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan satu dan dua, kesemua tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melarikan Choo Eng Hong, 27, dan isterinya Lee Chen Hwee, 33, dengan niat dikurung secara rahsia dan salah.

Tindakan itu dilakukan tertuduh antara pukul 2 sehingga 3 petang di hadapan sebuah rumah di Taman Malim Jaya pada 8 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan didenda, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan tiga dan empat, kesemua tertuduh turut didakwa telah memukul pasangan suami isteri itu menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan cedera.

Kejadian itu dilakukan kira-kira pukul 11 malam, 8 Disember sehingga 8 pagi, 9 Disember di belakang sebuah bengkel di Taman Malim Jaya, dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh diwakili Peguam JJ Lee.

Kesemua tertuduh merayu agar jaminan diberikan dengan alasan mereka mempunyai keluarga dan pekerjaan di negeri ini, malah mendakwa masih menanggung hutang selepas ditipu pasangan itu dalam pelaburan membabitkan kerugian RM9.5 juta.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh 18 Januari tahun hadapan sebagai sebutan semula kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN