MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji persembahan luar biasa Kevin De Bruyne selepas pemain tengah itu berjaya menjaringkan dua gol ketika membenam Leeds United 7-0.
Bintang Belgium itu membuat penampilan pertamanya untuk Liga Perdana Inggeris dalam tempoh sebulan selepas dijangkiti Covid-19 dan berjaya menjaringkan gol pertamanya melalui rembatan jarak jauh yang kuat.
“Dia (De Bruyne) amat luar biasa. Pasukan perlukan dia kerana dia sangat penting untuk pasukan. Dia boleh buat apa yang dia mahukan.
“Dia sangat merendah diri dan berlatih dengan sangat baik dalam dua hari terakhir. Dalam perlawanan itu, dia adalah yang terbaik.
“Kami gembira dia kembali bersama rentak cemerlangnya kerana dia amat bergelut pada awal musim. Saya berharap dia dapat mengekalkan rentak itu lebih lama kerana kami memerlukannya,” kata Guardiola.
Juara Liga Perdana Inggeris itu melebarkan pendahuluan mereka di puncak liga dengan empat mata sambil memperoleh kemenangan terbesar mereka musim ini ketika Phil Foden, Jack Grealish, Riyad Mahrez, John Stones dan Nathan Ake turut mencatatkan nama sebagai penjaring.
“Banyak perkara yang telah berlaku pada tahun ini yang berada sedikit di luar kawalan saya. Ketika saya kembali, saya dijangkiti Covid-19. Perkara itu sudah berlalu dan kini kami mahu bekerja lebiih keras untuk kembali ke tahap yang baik.
“Saya rasa kami bermain dengan sangat baik di dalam perlawanan ini,” kata De Bruyne. – UTUSAN ONLINE