SHAH ALAM: Cubaan seorang lelaki disyaki perancang utama pergerakan kemasukan kumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyogok pihak berkuasa dengan wang berjumlah RM6,000 gagal ketika ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.
Lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan cuba memberi suapan kepada polis bagi membebaskan penangkapan tiga tekong darat dan 21 PATI dipercayai warga Indonesia yang ditahan dalam operasi berasingan ada pukul 7.30 pagi semalam di Jalan Tali Air, Morib, Kuala Langat.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, PGA, Semenyih Selangor, Superintendan Rizal Mohamed berkata, 21 PATI dan tiga tekong darat itu ditahan ketika pasukannya membuat rondaan dan menahan tiga kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Siasatan awal, kesemua PATI didapati baru masuk ke negara ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dengan menggunakan bot. Seorang PATI juga didapati mempunyai MyKad dipercayai palsu.
“Susulan itu, PGA berjaya menahan seorang lelaki pada pukul 1.30 tengah hari semalam disyaki sebagai perancang utama penyeludupan PATI di Pantai Baru, Morib yang cuba menyogok pihak berkuasa supaya membebaskan semua tahanan dalam tangkapan pertama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, dalam operasi tersebut, PGA turut merampas empat buah kenderaan, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai RM6,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah bernilai RM55,550.
Menurut Rizal lagi, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut.
Kesemua suspek ditangkap di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1963 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan penjenayah dan juga petugas PDRM.
“Saya menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan memberikan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE










