Hamzah bukan lagi Ketua Pembangkang - Ahmad Samsuri

Hamzah bukan lagi Ketua Pembangkang – Ahmad Samsuri

MAHFODZ Mohamed (kiri) menyambut ketibaan Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Negeri Johor di Bukit Pasir, Pagoh, Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan lagi Ketua Pembangkang selepas beliau menghantar surat peletakan jawatan berkenaan, semalam.

Menteri Besar Terengganu itu turut memberitahu, pihaknya telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menghantar surat pemakluman kekosongan jawatan itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Bila surat berlaku kekosongan sudah dihantar, bermakna Datuk Seri Hamzah bukan lagi Ketua Pembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Negeri Johor di Bukit Pasir, Pagoh, di sini semalam.

Mengulas berhubung calon Ketua Pembangkang yang baharu, Ahmad Samsuri berkata jawatan berkenaan akan diisi sebelum sesi sidang Dewan Rakyat akan datang pada Jun ini.

“Kita boleh gerak dengan pelbagai cara, sekarang pun bukan waktu bersidang Dewan Rakyat, jadi kita bergerak atas kapasiti parti-parti sedia ada bawah PN. Ini strategi tertentu kita, tetapi bila nak masuk sidang Dewan Rakyat berikutnya kita akan ada Ketua Pembangkang baharu.

“Jika ditanya 10 orang soalan siapakah calon sesuai menjawat jawatan tersebut, akan dapat 10 jawapan berbeza-beza. Biasalah masing-masing ada hasrat disuarakan kepada kepimpinan, jadi kita akan dengar dan bincang, tengok bagaimana,” katanya lanjut.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berharap, jawatan berkenaan disandang pemimpin daripada parti tersebut susulan penyandang terdahulu daripada Bersatu selain majoriti Ahli Parlimen pembangkang ketika ini datang daripada parti berkenaan.

“Sudah sampai masa untuk Pas jadi ketua pembangkang. Keputusan juga oleh Ahli Parlimen, jumlah Ahli Parlimen parlimen pembangkang paling ramai daripada Pas, maka itu yang munasabah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Akta Pendanaan Politik, Ahmad Samsuri berkata, parti itu bersetuju akta tersebut dilaksanakan kerajaan dalam usaha menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks.

Katanya, sesi libat urus bersama parti-parti politik tempatan perlu diadakan berkali-kali untuk mencari rangka kerja bersesuaian berhubung pelaksanaannya.

“Sebelum akta itu disiapkan dan dibentangkan, perlu ada perbincangan dengan parti-parti politik sama ada yang menganggotai Dewan Rakyat atau tidak, kerana mungkin satu masa nanti mereka juga ada wakil,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN