Calon PBK Gedong pula dipanggil Cawangan Khas - Utusan Malaysia

Calon PBK Gedong pula dipanggil Cawangan Khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tidak cukup dengan Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, seorang lagi calon partinya dipanggil pula oleh Cawangan Khas ke Balai Polis Siburan hari ini.

Lee Shan menerusi WhatsApp kepada pemberita berkata, calonnya di Gedong, Tomson Anak Ango, dipanggil pihak polis pada pukul 12 tengah hari ini untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sebab calonnya dipanggil hadir ke balai polis berkenaan.

“Saya akan berada di sana. Saya mendapat makluman pihak daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu dia (Tomson) disiasat,” dakwanya pagi ini.

Di Gedong, Tomson berdepan tentangan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg; wakil Parti Amanah Negara (Amanah), Kamal Bujang dan Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12,lusa.

Baru-baru ini Lee Shan mendakwa ditahan pegawai SPRM ketika beliau sedang memandu keretanya melintasi Kenyalang Park, diarah berhenti dan kunci keretanya diambil.

Sumber SPRM memberitahu, dakwaan beliau ditahan pihak berkuasa tanpa sebab adalah tidak tepat sebaliknya beliau diminta tampil memberi penjelasan berhubung penawaran pemberian wang tunai RM3,000 kepada pengundi di negeri ini jika mereka menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab untuk ‘kerajaannya’ jika menang pilihan raya membantu rakyat dengan wang melalui pemberian subsidi.

Beliau yang mengetuai PBK dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ke-12 kali ini membawa kempen Bebaskan Sarawak dari Malaysia atas dakwaan Perjanjian Malaysia 1963 tidak adil kepada rakyat negeri ini.

PBK juga menawarkan dana bantuan kesusahan khas RM3,000 untuk pengundinya namun terhad kepada mereka yang benar-benar mengundi pada pilihan raya. – UTUSAN ONLINE

-Utusan Online

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN