Buang sampah secara haram jangan cabar undang-undang - MPKL - Utusan Malaysia

Buang sampah secara haram jangan cabar undang-undang – MPKL

KAWASAN di tepi Jalan Segenting, Pulau Carey di Kuala Langat, Selangor ditutup oleh MPKL dengan pita kunings selepas dibersihkan bagi melarang pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram di sana. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Tindakan individu tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram berulang kali di Jalan Segenting di sini disifatkan sebagai cuba mencabar  Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) selepas pembersihan dilakukan dan papan tanda amaran diletakkan.

Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim memberitahu, individu yang berbuat demikian seolah-olah tidak takut dengan tindakan undang-undang yang boleh dikenakan sedangkan kawasan berkenaan sudah beberapa kali dibersihkan.

“Petugas MPKL beberapa kali menutup kawasan tersebut dengan pita larangan malah papan tanda larangan membuang sampah turut didirikan tetapi pembuangan sampah haram tetap berulang.

“Pada tahun 2021 ini sahaja, sebanyak 12 operasi bersepadu bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) dan juga KDEB Waste Management telah dilakukan dan yang paling terkini ialah pada 9 September yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sikap orang ramai yang masih berdegil, walaupun tindakan pernah diambil termasuk melakukan kerja pembersihan serta memasang papan tanda larangan oleh MPKL, orang ramai dilihat terus membuang sampah di Jalan Segenting, di Pulau Carey di sini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, hasil pemantauan dan siasatan pihak MPKL mendapati pelbagai sampah yang dibuang di lokasi tersebut antaranya ialah sampah domestik, sampah pukal dan palet kayu yang disyaki dibuang oleh pihak kilang yang tidak bertanggungjawab. 

Katanya lagi, kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan serta merta bagi memastikan pembuangan sampah di lokasi tersebut tidak berulang.

“MPKL dibawah seliaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) dan Jabatan Penguatkuasaan akan terus memantau kawasan tersebut dari semasa ke semasa.

“Namun, kerjasama semua pihak termasuk orang awam diperlukan untuk memastikan kawasan tersebut dan persekitarannya bersih,”katanya.

Jelasnya lagi,orang awam juga boleh membuat laporan kesalahan pembuangan sampah haram dengan mengambil gambar kesalahan dan gambar nombor pendaftaran kenderaan pesalah, seterusnya melaporkannya ke pihak MPKL melalui talian 03-31872825 atau 03-31872732. 

“Pesalah boleh didakwa mengikut Undang-undang Kecil (UUK) 4, UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007, yang memperuntukkan hukuman denda maksima sebanyak RM2,000 atau penjara.” tegasnya.-UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya