Bersatu perlukan 20 tahun lagi untuk kukuh - Utusan Malaysia

Bersatu perlukan 20 tahun lagi untuk kukuh

KARTINI ABOO TALIB , JAMAEI HAMIL dan P. SIVAMURUGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Harapan untuk Muafakat Nasional (MN) diselamatkan seperti tidak nampak bayang apabila UMNO di bawah Barisan Nasional (BN) tetap bertegas dengan pendirian untuk tidak meneruskan kerjasama itu jika Pas masih mahu kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, jangkaan Pas untuk terus berada dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu juga tidak akan berlaku dan Pas akan bertindak meninggalkan gabungan itu untuk bertanding secara sendirian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, jika masing-masing parti mahu bergerak solo, kemampuan Bersatu untuk menandingi UMNO dan Pas adalah sukar, sekali pun meneruskan kerjasama dengan parti-parti politik lain di bawah PN.

“Bersatu memerlukan 15 hingga 20 tahun akan datang untuk mereka membina akar umbi yang kukuh. Kalau tidak ada akar umbi maka sukar untuk parti itu menang banyak kerusi.

“Kekalahan teruk Bersatu dalam PRN Melaka adalah implementasi parti itu untuk PRU-15 walaupun nampak ada persaingan dengan parti-parti lain,” katanya di sini semalam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, Pas menolak gagasan MN kerana UMNO tidak mengikut piagam dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk yang mana berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu adalah tersasar kerana UMNO tidak pernah memungkiri piagam tersebut, malah penubuhan MN bukanlah dengan matlamat Bersatu menjadi sebahagian daripadanya.

Dalam pada itu, Jamaei berkata, kerjasama politik UMNO dan Pas sudah dijangkakan tidak akan berlaku dalam tempoh panjang, malah, penubuhan awal MN ketika itu hanyalah untuk melemahkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu-isu melibatkan kepentingan Melayu dan Islam.

Justeru, katanya, selepas kerajaan PH runtuh, maka kerjasama MN sudah tidak wujud lagi dan Kerajaan Pusat terbentuk bukan kerana kekuatan MN semata-mata.

“Kerjasama politik UMNO-Pas jangka panjang tidak akan berlaku sebaliknya kerjasama sekarang ini dalam Kerajaan Persekutuan hanya mahu memastikan PH tidak menjadi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berpendapat, Bersatu diyakini boleh ‘bernafas’ walau dalam keadaan yang mencabar dan mungkin berpeluang jika membawa wadah memilih calon profesional atau teknokrat untuk mendapat perhatian daripada pengundi.

Beliau menjelaskan, sebagai contoh dalam PRN Melaka, Bersatu menang dua kerusi yang kedua-duanya merupakan doktor perubatan.

Justeru, katanya, jika strategi memilih calon Bersatu dari golongan profesional, parti itu mampu bertahan apatah lagi jika Pas masih bersama dalam gabungan PN.

“Kalau diperhatikan, Pas amat menghargai Bersatu dan jika PN kekal bersama, mereka akan memberikan saingan politik yang sihat bila berdepan dengan UMNO dan PKR,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, jika masing-masing parti bergerak sendiri, ia ternyata akan memberi impak kepada blok sokongan pengundi Melayu.

Ini kerana, katanya, blok yang sama dicari oleh parti UMNO, Bersatu, Pas, PKR dan Parti amanah Negara (Amanah) dan jika Pejuang menyertai PRU, sekali lagi blok itu menjadi tumpuan.

“Bersatu memerlukan sokongan penyokong Pas dalam konteks PN dan turut cuba mendapatkan sokongan pengundi yang berkalih kepada PH. Ini jelas di PRN Melaka.

“Bersatu perlu memastikan ada blok sokongan sendiri di peringkat akar umbi jika mahu kekal sebagai persaingan kepada UMNO dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya