PASIR GUDANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan siri jelajah untuk mempromosikan sayap baharu parti berkenaan iaitu Sayap Bersekutu Bersatu bagi menarik penyertaan masyarakat bukan bumiputera.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) Bersatu, Dr. Chong Fat Full berkata, setakat ini sayap berkenaan sudah ditubuhkan di dua negeri iaitu Sabah dan Johor.
“Sayap Bersekutu Bersatu sudah mengadakan perbincangan dua hari lepas di mana kita perlu buat banyak promosi yang bertujuan untuk memaklumkan orang ramai bahawa mereka ada pilihan (parti politik) baharu.
“Kedua kita nak orang tahu bahawa Bersatu sudah ada satu sayap baharu untuk rakyat Malaysia bukan bumiputera dan itu akan bantu masyarakat lihat parti ini dengan perspektif baharu.
“Bersatu bukan lagi alternatif kepada UMNO atau tempat berkumpulnya bekas ahli UMNO, ia sudah tidak sama. Kita sudah masuk elemen kepelbagaian kaum,” katanya ketika ditemui selepas melawat Projek Aquagro di Kawasan Rukun Tetangga Kota Masai, di sini hari ini.
Fat Full yang juga Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Pusat dan Ketua Bersekutu Bersatu Johor berkata, setakat ini keahlian untuk sayap berkenaan di Johor adalah seramai 5,000 dan pihaknya komited untuk menambah jumlah keahlian sayap berkenaan pada masa depan. – UTUSAN ONLINE