Beli air dari Perak, Pulau Pinang masih tunggu maklum balas Pusat - Utusan Malaysia

Beli air dari Perak, Pulau Pinang masih tunggu maklum balas Pusat

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu maklum balas Kerajaan Pusat berhubung hasrat membeli air mentah dari Perak menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri sudah menghantar surat permohonan rasmi pada 19 Oktober tahun lalu kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk membeli air mentah dari Perak dengan harga yang berpatutan, namun belum mendapat sebarang maklum balas.

Selain itu kata beliau, kerajaan negeri turut menulis surat kepada Perak pada 10 Disember 2020 bagi menawarkan harga air mentah yang lebih tinggi dari sebelumnya atau bersamaan dengan kadar yang diguna pakai dalam perjanjian penjualan air mentah oleh Pahang kepada Selangor.

Jelas beliau, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memaklumkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) sedang melaksanakan kajian mengenai keupayaan Sungai Perak untuk menampung keperluan air.

“Kerajaan Negeri Perak mengambil maklum pilihan-pilihan yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti kadar air mentah yang lebih tinggi dan cadangan usahasama loji rawatan air Sungai Kerian.

“Selain itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air juga telah melantik konsultan untuk kajian Penilaian Opsyen dan Pra-Rekabentuk Kejuruteraan SPRWTS. Kajian itu sepatutnya sudah siap bulan lalu,”  katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) mengenai status projek SPRWTS.

Kepada soalan Choon Aik mengenai perancangan rawatan air mentah Sungai Perai dan Sungai Juru dekat sini, Zairil berkata, rancangan itu bertujuan memanfaatkan Sungai Perai sebagai sumber air mentah tambahan untuk Pulau Pinang.

Bagaimanapun katanya, kajian kejuruteraan sebelum ini menunjukkan air mentah dari sungai itu mungkin tidak selamat dirawat dengan menggunakan teknologi rawatan air konvensional.

“Sungai Juru tidak dipertimbangkan sebagai sumber air mentah kerana kualiti dan kuantiti air mentah berada pada tahap tidak memuaskan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan tambahnya, kerajaan negeri turut melihat potensi Sungai Perai sebagai sumber alternatif bekalan air mentah bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.

“Walaupun kapasiti air Sungai Perai tidak mampu memenuhi keperluan rakyat di negeri ini secara keseluruhannya, namun ia mampu menjadi sumber bekalan air mentah tambahan bagi Pulau Pinang pada masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN