ISKANDAR PUTERI: Paras air di semua empangan di Johor, berada dalam keadaan terkawal meskipun negeri ini tidak merekodkan sebarang taburan hujan sejak lebih sebulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, setakat ini tiada empangan berada pada paras kritikal, namun beberapa empangan dikenal pasti berada pada paras rendah dan perlu diberi perhatian rapi.
Katanya, empangan mencatat paras rendah ialah Empangan Upper Layang pada 46.89 peratus, Pulai 1 (47.63 peratus), Gunung Pulai 2 (56 peratus) dan Lower Layang (60.33 peratus), yang semuanya berada di bawah seliaan Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ).
“Buat masa ini semua empangan masih beroperasi dengan baik dan loji rawatan air (LRA) juga berada dalam keadaan stabil. Empangan kita mempunyai margin rizab air antara tiga hingga enam bulan.
“Bagaimanapun, kita perlu terus berjaga-jaga memandangkan tempoh ketiadaan hujan yang agak panjang,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jambatan Konkrit Menggantikan Jambatan Besi Sedia Ada di Jalan Gelang Patah-Pendas, di sini, hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Mohamad Fazli berkata, Mesyuarat Pelan Menghadapi Kemarau membabitkan jabatan dan agensi berkaitan akan dipengerusikan beliau, esok, bagi menyelaras tindakan menghadapi sebarang kemungkinan.
Mesyuarat itu antara lain akan mengenal pasti kawasan takungan empangan yang perlu diberi tumpuan sekiranya berlaku penutupan atau pengurangan operasi loji rawatan air.
“Kita juga akan meneliti keperluan pembenihan awan, namun faktor cuaca seperti ketiadaan hujan dan angin kencang boleh menjejaskan keberkesanannya,” katanya.
Sebelum ini, semua masjid dan surau di Johor diarahkan mengadakan solat sunat istisqa’ selama tiga hari berturut-turut sebagai usaha memohon hujan, selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. – UTUSAN










