Belanjawan 2022 Perak: Pembangkang kecewa, minta dipinda - Utusan Malaysia

Belanjawan 2022 Perak: Pembangkang kecewa, minta dipinda

HOWARD Lee Chuan How ketika perbahasan Belanjawan 2022 Perak pada Sidang DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pembangkang kecewa terhadap Belanjawan 2022 Perak yang dibentangkan kerana kerajaan negeri mengurangkan perbelanjaan daripada RM1.215 bilion sebelum ini kepada RM1.1 bilion.

Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) berkata, beliau kecewa kerana kerajaan negeri bukan saja memilih untuk tidak meningkatkan perbelanjaan malah menguncupkan lagi perbelanjaan berbanding tahun lepas.

Menurutnya, sepatutnya Belanjawan 2022 menjadi belanjawan paling penting untuk memulihkan ekonomi negara yang parah dan tenat berikutan Covid-19.

Berikutan itu beliau mahu belanjawan itu dipinda.

“Mengikut Menteri Besar sendiri, selama 12 tahun berturut-turut Perak mencatat surplus (lebihan) dalam perbelanjaan dan dalam akuan disatukan, kita punya kekuatan sebanyak RM1.285 bilion pada hujung tahun 2020.

“Itulah duit yang kita ada, jadi kalau kita potong untuk perkara yang kita hendak pakai untuk belanjawan tahun ini pun masih ada lebih RM900 juta.

“Jadi apa salahnya untuk kita ambil lebih sedikit. Ya (memang) defisit meningkat tapi inilah saat untuk kita belanja, kalau bukan sekarang bila lagi? Nak simpan menyimpan (peruntukan) buat apa? Sekarang rakyat susah, ketandusan aliran wang tunai, kalau kerajaan tak belanja siapa lagi?

“Saya amat kecewa dengan apa yang telah dibentangkan (Belanjawan 2022) yang agak biasa-biasa malah nampak tak tentu hala dan sangat konservatif untuk kita menghadapi cabaran yang luar biasa,” katanya pada perbahasan Belanjawan 2022 Perak pada Sidang Dewan (DUN) Perak di sini hari ini.

Chuan How berikutan itu meminta kerajaan negeri meningkatkan perbelanjaan dan mahu Belanjawan 2022 Perak dipinda.

Beliau mencadangkan satu jawankuasa yang terdiri daripada Ahli Dewan ditubuhkan, jika belanjawan itu tidak dapat pinda.

“Saya nak ajak (ahli dewan) berunding, berbahas, meminda belanjawan ini sekiranya ada ruang untuk menambah perbelanjaan biarpun defisit lebih besar supaya kita boleh menyampaikan apa yang diperlukan oleh rakyat pada saat genting ini,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan Belanjawan 2022 berjumlah RM1.1 bilion.

Peruntukan belanjawan tersebut bagaimanapun mengalami penyusutan berbanding tahun lalu yang berjumlah RM1.215 bilion.

Saarani berkata, peruntukan Belanjawan 2022 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM803 juta dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM302 juta.

Beliau berkata, Belanjawan 2022 dicadangkan sebagai bajet defisit RM50 juta berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan berjumlah RM1.06 bilion serta perbelanjaan yang dirancangkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN