Banjir datang lagi di Kelantan - Utusan Malaysia

Banjir datang lagi di Kelantan

JALAN Jeli Lama dinaiki air sedalam hampir satu meter di laluan sejauh 650 meter dan terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan hari ini. - IHSAN JKR JELI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Gelombang kedua banjir mula melanda negeri ini dengan Jeli menjadi jajahan pertama terjejas apabila air Sungai Lanas dan Pergau melimpah selepas hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Setakat tengah hari ini, portal ebanjir Kelantan melaporkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak pagi ini di Jeli bagi menempatkan 430 mangsa daripada 135 keluarga.

Empat PPS terbabit ialah PPS Dewan Kesedar, Tabika Kemas dan Sungai Satan melibatkan 286 mangsa, PPS Dewan Kesedar dan Pasti Bukit Lakota (126 mangsa), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Bongor (7 mangsa) dan PPS SK Jeli 1(11 mangsa).

Di Rantau Panjang pula, seramai 54 mangsa dilaporkan masih lagi terkandas di PPS SK Gual Tok Deh, akibat banjir termenung yang belum surut kesan gelombang pertama, kira-kira dua minggu lalu.

Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dilaporkan sudah melepasi paras amaran iaitu mencecah 23.06 meter, berbanding paras normal 19 meter.

Bagaimanapun, sungai-sungai utama di Kelantan seperti Tangga Krai (Kuala Krai), Jambatan Guillemard (Tanah Merah), Tambatan Diraja (Kota Bharu) dan Golok (Rantau Panjang) masih normal walaupun menunjukkan trend meningkat.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Jeli melaporkan Jalan Jeli Lama dinaiki air sedalam hampir satu meter di laluan sejauh 650 meter dan terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya