Banjir: Ada ambil kesempatan buat kutipan demi kegunaan peribadi - Utusan Malaysia

Banjir: Ada ambil kesempatan buat kutipan demi kegunaan peribadi

MOHD. KAMARUDIN MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan wujudnya segelintir individu yang mengambil kesempatan berkaitan isu banjir untuk membuat kutipan derma bagi kegunaan peribadi.

Bagaimanapun, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) setakat ini belum menerima sebarang laporan polis berhubung perkara itu.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kejadian banjir yang melanda kawasan di beberapa negeri baru-baru ini mengakibatkan kehilangan harta benda dan kerugian terhadap mangsa terlibat.

Ujar beliau, berdasarkan pemerhatian, pelbagai inisiatif kutipan derma dilancarkan oleh parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, individu persendirian dan lain-lain untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas.

“Kebiasaannya aktiviti kutipan yang bersifat kebajikan ini mendapat maklum balas positif daripada rakyat Malaysia.

“Justeru, kami tidak menolak kemungkinan wujudnya segelintir individu mengambil kesempatan berhubung isu banjir untuk membuat kutipan derma bagi kegunaan sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Kamarudin menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam menyalurkan derma supaya ia benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Ujar beliau, pihaknya sentiasa memantau aktiviti kutipan derma terutama yang dilakukan melalui internet.

“Sebarang aktiviti meragukan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penipuan kutipan derma boleh menghubungi CCID Scam Response di talian 03-26101559/1599 atau membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.