MADRID: Seorang pemandu lori mendakwa Lamborghini milik Diogo Jota dan Andre Silva tidak dipandu laju ketika kemalangan berlaku.
Laporan awal menyatakan bahawa kereta itu berkemungkinan dipandu laju ketika kemalangan, yang menyebabkannya terbakar dan meragut nyawa dua pemain bola sepak itu.
Pasukan forensik sedang menganalisis kesan yang ditinggalkan oleh tayar kereta, dan dipercayai bahawa salah satu tayar telah meletup.
Mereka sedang berusaha menentukan sama ada kelajuan berlebihan menjadi punca kemalangan, menurut kenyataan pihak polis.
Video tersebut muncul hanya beberapa jam selepas pendedahan seorang pemandu wanita hampir maut di lebuh raya berbahaya yang sama, yang dilalui oleh adik-beradik itu hanya beberapa jam sebelum kemalangan maut berlaku.
Seorang wanita berusia 60 tahun cedera parah di kilometer 65, di jalan yang sama di mana Jota maut, Rabu lalu sekitar jam 11.30 pagi (waktu tempatan).
Keretanya terbabas dari jalan ketika dalam perjalanan menuju ke Benavente, menyebabkan wanita itu terperangkap dan dia kemudiannya diselamatkan oleh pasukan bomba dan dibawa ke hospital, lapor media Sepanyol AS.
Jose Azevedo kini telah merakam sebuah video yang kelihatan diambil dari sebuah lori, dari sudut papan pemuka, dengan memberikan jaminan kepada keluarga bahawa kereta tersebut tidak dipandu melebihi had laju ketika kejadian berlaku.
Tayar Lamborghini Huracan yang mampu mencecah kelajuan 200 kilometer sejam itu dipercayai meletup semasa cuba memotong di lebuh raya A-52 di Cernadilla, berhampiran Zamora, di barat laut Sepanyol, berhampiran sempadan Portugal.
Kereta sport berwarna hijau terang itu telah terbabas dari jalan, berpusing dan terbakar, lalu menyebabkan kebakaran kecil di kawasan sekitarnya. Pasukan kecemasan bergegas ke lokasi, namun malangnya tidak dapat menyelamatkan kedua-dua beradik tersebut.
Mereka dalam perjalanan ke Santander, utara Sepanyol, untuk menaiki feri ke UK selepas pemain Liverpool dan bintang antarabangsa Portugal itu dinasihatkan untuk tidak menaiki kapal terbang selepas menjalani pembedahan paru-paru.
Selepas kematian Jota di jalan raya, seorang wakil kerajaan pusat bagi wilayah Zamora telah melabelkan lebuh raya A-52 sebagai “sangat berbahaya”.
Pada tahun 2023, terdapat 19 kemalangan jalan raya di A-52, dengan purata 1.5 kematian bagi setiap kejadian, menurut laporan The Mirror.
Lebuh raya itu juga dikenali dengan keadaan jalan yang “penuh dengan lubang” dan penduduk tempatan sebelum ini turut mengadu mengenai papan tanda yang tidak jelas, menurut kelab AEA.
Sekitar 40 aduan mengenai lubang jalan telah dibuat oleh pemandu kepada kementerian pengangkutan Sepanyol dalam tempoh sebulan pada tahun 2024, lapor La Opinión de Zamora.
Wilayah Zamora juga dikenali dengan bentuk muka bumi yang berbukit-bukau, di mana lebuh raya A-52 merentasi kawasan pergunungan dan hutan.
Kawasan ini juga sering dilanda kabus tebal dan kekurangan pencahayaan.
Walaupun laluan itu sukar, lebuh raya ini merupakan jalan utama yang digunakan oleh pemandu selepas keluar dari utara Portugal menuju ke pelabuhan di Santander dan Bilbao, atau memandu ke timur laut menuju ke Perancis.
Namun begitu, jalan ini terkenal sebagai kawasan dengan “pemanduan tidak bertanggungjawab”, dengan hampir 15,000 saman laju dikeluarkan pada tahun 2020, menurut laporan La Opinión de Zamora. – AGENSI/UTUSAN










