Asiah gembira ‘mask extender' hasil tangannya dipakai Permaisuri Johor hadiri konvokesyen UTM - Utusan Malaysia

Asiah gembira ‘mask extender’ hasil tangannya dipakai Permaisuri Johor hadiri konvokesyen UTM

ASIAH Mahmood menunjukkan salah satu produk kraf tangan yang dihasilkannya di Pangsapuri Jentayu, Bandar Baru Kangkar Pulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembuat produk kraf kecil-kecilan, Asiah Mahmood tidak dapat menggambarkan kegembiraannya apabila produk ‘mask-extender‘ yang dihasilkannya dipakai Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah ketika berangkat ke Majlis Konvokesyen Ke-64 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sabtu lalu.

Asiah, 50, yang lebih mesra dengan panggilan Kak Kam memberitahu, minatnya untuk mengait telah bermula sejak muda lagi selain mempelajari teknik berkaitan melalui laman sosial khususnya YouTube.

“Perbadanan Pengurusan Jentayu meminta saya membuat beg, mask extender dan beg syiling untuk diberikan sebagai cenderamata kepada Permaisuri Johor sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda pada Ogos lalu.

“Saya bagaikan tidak percaya apabila diberitahu Baginda amat menyukainya dan kemudian menempah satu beg corak ‘I Love Johor’, masing-masing 50 unit beg syiling dan ‘mask extender‘.

“Sesungguhnya, tidak pernah saya mendapat tempahan begitu banyak kerana secara kebiasaan hanya secara kecil-kecilan. Saya amat bersyukur dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda,” katanya seperti yang dikongsikan Facebook The Royal Johor.

Tambah Asiah, sokongan diberi Permaisuri Johor menjadi satu inspirasi dan dorongan kepadanya untuk terus bersungguh-sungguh dan menjadikan kraftangan sebagai satu sumber pendapatan tambahan.

“Walaupun membawa van sekolah sepenuh masa, namun kerja mengait tidak pernah ditinggalkan di mana saya menghasilkan pelbagai produk. Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya turut menerima kesannya kerana tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh berkenaan.

“Namun saya tidak putus harapan dan terus memberi tumpuan menghasilkan produk kraftangan, Alhamdulillah jiran banyak beri sokongan dengan membelinya,” katanya yang sudah menetap hampir 20 tahun di Pangsapuri Jentayu, Bandar Baru Kangkar Pulai.

Sementara itu, Raja Zarith Sofiah bertitah bahawa usaha Asiah seharusnya menjadi contoh agar lebih ramai wanita menjadikan penghasilan produk kraf untuk dijual sebagai cenderahati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN