PETALING JAYA: Seorang pengguna Facebook hari ini memuat naik cerita mengenai sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terpalit dengan insiden buli, dengan mangsa kini dirawat di hospital di Selangor kerana mengalami kecederaan yang diklasifikasikan sebagai ‘soft tissue injury’ atau kecederaan tisu lembut dalam badan.
Dalam catatan itu, beliau menceritakan kisah pengalaman anak saudaranya yang berhenti belajar di sekolah berasrama penuh (SBP) tersebut ketika di Tingkatan 1, kerana kes buli.
Anak saudaranya ketika itu baharu beberapa bulan memasuki sekolah berkenaan.
Dan, katanya, beberapa hari, tular pula kes buli melibatkan sekolah sama.
“Lepas anak saudara aku berhenti (di sekolah itu), sambung balik di sebuah sekolah biasa, dan Alhamdulillah, cemerlang SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), kini sambung belajar di Matrikulasi Gopeng.
“Boleh jer berjaya di sekolah harian biasa jika ada kemahuan. Alhamdulillah. Yang aku nak cerita, awal masa dia (anak saudara) nak stop (berhenti) tu, ada juga rasa kecewa, sebab bukan mudah nak masuk SBP. Tapi hari demi hari kena buli, sampai ke benda tajam., ape ke heynye (apa hal)?
“Apa kata cikgunya? Biasalah budak budak, kena belajar jadi kuat. Nak report kita dah report, ak jaga nama baik punya pasal, satu tindakan pun tarak (tiada). Bagus sangat viral (tular) ni, kasi ajar sikit. Saman jer, tuntut ganti rugi,” dakwanya yang turut dikongsi pelbagai pihak di media sosial.
Beliau seterusnya menulis: “Tak payah bagi peluang, buang masa simpan pembuli. Budaya bongok yang dikekalkan. Duk (tinggal) asrama kene buli. Ada abang besar, abang kawasan. Bila dah jadi macam nie., minta maaf, minta maaf. Kecil jadi pembuli, besar jadi pembunuh., elok la tu.”
Pengguna Facebook itu turut mempersoalkan tujuan ke sekolah sama ada hendak melahirkan pemimpin atau penjenayah?
“Orang nak kata lembik, tapi takkan nak tunggu sampai hilang nyawa, baru nak ambil tindakan? Ya, ada banyak kelebihan masuk SBP, tapi bila melibatkan nyawa ni, pihak atasan tolonglah beri perhatian. Warden kat mana? Barisan guru hebat di mana? PIBG?
“Buli ni yang kita nampak kena rakam tu jer, yang tak rakam banyak lagi. Janganlah ada mindset, tak asrama lah kalau tak ragging. Oiii nie dah nak masuk 2022, tinggikan sikit akal pemikiran tu. Sedih aku melihat, pandai dah pandai, tapi bodoh juga si pembuli ni,” tegasnya.
Beliau mengakhiri catatan dengan nasihat: “Katakan tidak untuk membuli”.