KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi tidak akan berkompromi dalam isu tuntutan palsu bernilai lebih RM8,000 membabitkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN berkenaan.
Dr. Azman Ibrahim berkata, laporan polis sudah dibuat pada September lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan selepas dimaklumkan mengenai penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 itu.
Di samping itu katanya, pegawai yang terlibat dalam menguruskan dokumen tuntutan perbelanjaan berkenaan turut telah meletakkan jawatan.
“Urusan seterusnya kita serahkan kepada pihak berkuasa, kita terbuka dan tiada siapa yang terkecuali daripada tindakan undang-undang.
“Lebihan tuntutan yang berjumlah RM11,900 bagaimanapun telah dibuat bayaran balik. Terima kasih kepada Jabatan Audit Negara yang menjadi semak dan imbang kepada kerajaan untuk mendapatkan sistem pentadbiran yang telus dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, sebuah blog memaparkan maklumat mengenai tuntutan palsu yang dibuat PKM DUN Jabi kepada Pejabat Daerah Besut berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2.
Menurut laporan itu, semakan silang dengan pembekal terlibat mendapati lima resit asal telah dipinda, iaitu daripada RM1,280 kepada RM10,050 (perbezaan sebanyak RM8,770) manakala satu resit palsu telah diwujudkan.
Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri menjelaskan, tuntutan perbelanjaan PKM DUN Jabi dibayar oleh Pejabat Daerah Besut ke dalam akaun pusat berkenaan tanpa melibatkan mana-mana akaun individu.










