808 jadi korban Covid-19 di Kelantan - Utusan Malaysia

808 jadi korban Covid-19 di Kelantan

Pindaan peruntukan enakmen pentadbiran agama Islam negeri yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan lebih wajar dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bukannya melalui proses semakan kehakiman.. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tahun lepas hanya lapan kematian manakala tahun ini melonjak 800 orang. 

Demikian perbandingan angka korban akibat virus Covid-19 direkodkan di Kelantan bagi tahun ini dan tahun lalu.

Sehubungan itu, sejak Mac 2020 hingga September 2021, angka korban terkumpul di seluruh negeri dalam tempoh hampir dua tahun tersebut direkodkan sudah mencecah 808 kematian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, Kota Bharu merekodkan angka tertinggi 221 kematian dikuti Pasir Mas (111 orang), Pasir Puteh (102 orang) dan Tumpat (89 orang).

Sementara itu kata beliau, Bachok pula merekodkan 80 kematian diikuti Gua Musang (58 orang) Tanah Merah (56 orang), Kuala Krai (37 orang), Jeli (29 orang) dan Machang (25 orang). 

“Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan bantuan RM1,500 menerusi insentif pengurusan jenazah Covid-19 kepada waris atau keluarga si mati dengan jumlah keseluruhan membabitkan RM630,000.

“Setakat ini, bayaran berjumlah RM406,000 membabitkan 271 kematian telah dilunaskan manakala sebanyak RM223,000 membabitkan 149 kematian belum dilunaskan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Mohd. Nazlan Mohamed (Pas-Limbongan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (Pas-Pasir Tumboh) pula, Dr. Izani berkata, sikap rakyat Kelantan yang ‘liat’ untuk patuh pada prosedur operasi standard (SOP) menjadi punca utama kes masih tinggi di negeri ini.

SOP paling ketara yang sering diabaikan, tidak memakai pelitup muka dengan sempurna dan penjarakan fizikal.

“Saya mengakui kes harian di Kelantan masih tinggi, punca utama adalah sikap kita terhadap kepatuhan SOP. Malah laporan Kementerian Kesihatan juga mengatakan masalah sikap punca kepada penyebaran kes di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Izani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, sehingga kini melalui data yang diperolehi sebanyak 91 peratus penduduk dewasa di negeri itu sudah lengkap vaksin.

“Pelbagai pendekatan diambil supaya mereka yang belum vaksin tampil berbuat demikian. Setakat ini kita belum mewajibkan mereka sebaliknya mengenakan syarat-syarat tertentu,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN