IPOH: Perak mencatatkan 551 kes keganasan rumah tangga semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 277 kes dicatatkan pada Mac hingga Disember 2020.
Menurutnya, jumlah kes bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu pula sebanyak 274 kes.
Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, kes keganasan rumahtangga yang dilaporkan ialah 133 kes iaitu 63 kes bagi tempoh Januari hingga Disember 2020 dan 70 kes pada Januari hingga November lalu.
“Tiga daerah mencatatkan berlakunya kes keganasan rumahtangga yang tertinggi ialah daerah Kinta 39 kes, Larut, Matang dan Selama (LMS) 22 kes dan Manjung sebanyak 21 kes,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Salbiah Mohamad (BN-Temengor) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Wan Norashikin berkata, bilangan kes jenayah seksual dicatatkan oleh PDRM negeri yang melibatkan kesalahan rogol, seksual terhadap kanak-kanak, cabul dan liwat mencatat 311 kes.
Menurutnya, 146 kes dicatatkan pada Mac hingga Disember tahun lalu dan 165 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.
“Kesalahan kes jenayah seksual rogol, adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 144 kes yang dilaporkan.
“Manakala bagi bilangan kes gangguan seksual melibatkan kesalahan perbuatan lucah ialah 22 kes iaitu dua kes (Mac hingga Disember 2020) dan 22 kes (Januari – Oktober 2021),” katanya.
Katanya, hasil siasatan yang dijalankan PDRM, antara faktor yang menyebabkan kes keganasan rumah tangga ialah penagihan dadah, masalah kewangan, masalah peribadi, mabuk dan dan perceraian.
Menurutnya, sebagai langkah dalam memberi bantuan dan khidmat sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga, kerajaan negeri melalui JKM menyediakan beberapa perkhidmatan.
“Antaranya mereka diberikan khidmat nasihat berkaitan keganasan rumah tangga, dibantu mendapatkan perintah perlindungan, diberikan bantuan kaunseling oleh Pegawai Psikiologi dan Kaunselor JKM,” katanya.