PETALING JAYA: Seramai 44 pengunjung dan pemilik sebuah pusat hiburan di ibu negara dikenakan kompaun berjumlah RM245,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam serbuan, malam tadi.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, kesemua 44 pengunjung itu telah dikenakan kompaun berjumlah RM220,000 manakala pemilik premis berkenaan dikompaun RM25,000.
Katanya, JPJKK Kuala Lumpur telah menjalankan Operasi Pematuhan Khas Covid-19 menyasarkan pusat hiburan tersebut dengan kekuatan 18 pegawai dan anggota JPJKK Kuala Lumpur.
“Kompaun-kompaun tersebut dikeluarkan mengikut pelanggaran Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 iaitu melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam semasa tempoh PPN Fasa 4 bagi Kuala Lumpur.
“Nilai keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan hasil serbuan lewat malam tadi adalah berjumlah RM245,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan dalam mengawal penularan wabak Covid-19, demi kesejahteraan masyarakat bersama. – UTUSAN ONLINE