PETALING JAYA: Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berjaya mencipta sebanyak 2,500 peluang pekerjaan melalui program Art In The City 2021 (AITC) yang mampu merancakkan ekonomi negara.
Program tersebut turut memberi nafas baharu kepada seni budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan seterusnya ke beberapa negeri lain.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, industri kreatif yang merangkumi Multimedia, Seni Budaya dan Warisan menjadi semakin penting yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Industri Kreatif bukan sahaja sebagai sumber hiburan dan pembangunan budaya semata-mata, malah berpotensi besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Justeru itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerajaan mengiktiraf industri kreatif sebagai strategik dan berimpak tinggi yang akan diberikan tumpuan khusus.
“Pemulihan dan pembinaan semula aktiviti seni budaya secara tidak langsung dapat mengubati jiwa negara dan Keluarga Malaysia yang terkesan dengan pelbagai cabaran susulan pandemik Covid-19,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penutupan AITC 2021 di ibu negara baru-baru ini.
Beliau menambah, kementeriannya mempelawa komuniti seni untuk bekerjasama dengan kementerian melalui Pasukan Petugas Kreatif bagi mewujudkan ekosistem yang sistematik supaya industri kreatif tempatan dapat terus berkembang. -UTUSAN ONLINE










