24 pelajar lelaki Maktab Mahmud, Sik positif Covid - Utusan Malaysia

24 pelajar lelaki Maktab Mahmud, Sik positif Covid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 24 pelajar lelaki di Maktab Mahmud, Sik disahkan positif Covid-19 membabitkan kluster institusi pendidikan yang dikenali sebagai Kluster Dah Pelangi, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, kluster tersebut dikesan setelah beberapa pelajar di sekolah berasrama itu didapati mengalami gejala bermula pada 28 November lalu.

Berikutan itu menurutnya, pihak pengurusan sekolah telah melakukan saringan bersasar kepada pelajar dan kes mula didaftarkan positif bermula hari ini.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, seramai 38 individu telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah itu, 24 kes dikesan positif dan 14 lagi negatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, punca penularan jangkitan di sekolah yang terletak di Taman Pelangi Jaya, Sik itu masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik.

Tambahnya, pihak PKD kini telah menjalankan pengasingan dan pemerhatian kepada kes-kes positif manakala kesemua kontak rapat pula diarah menjalani kuarantin.

“Selain itu, notis penutupan sekolah juga telah diberikan bermula 3 Disember (hari ini) hingga kerja-kerja membasmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan,” katanya.

Mohd. Hayati berkata, orang ramai diminta untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Elakkan daripada bersentuhan dan bersembang dalam jarak dekat serta berusahalah untuk menghindari kawasan sesak dengan ruang sempit atau tertutup.

“Pastikan pengudaraan baik di kawasan pembelajaran serta asrama dan kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya