125 mesin air bernilai RM875,000 disita  - Utusan Malaysia

125 mesin air bernilai RM875,000 disita 

MOHD. Wazir Khalid menyita sebuah mesin air tidak berlesen di Butterworth dalam operasi besar-besaran yang dijalankan serentak di lima daerah di Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebanyak 125 buah mesin air tidak berlesen yang dianggarkan bernilai RM875,000 disita dalam satu operasi besar-besaran yang dijalankan serentak di lima buah daerah di negeri ini.

Ketua Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri, Mohd. Wazir Khalid berkata, Op Sita itu dilakukan susulan pemantauan selama dua minggu oleh inspektor kesihatan di beberapa lokasi.

Katanya, selain tidak memiliki lesen khas daripada Kementerian Kesihatan untuk beroperasi, beberapa kesalahan lain dikesan sepanjang operasi itu termasuk membuat tuntutan perubatan atau mendakwa keberkesanan minuman tersebut terhadap kesihatan serta penggunaan sumber air dan elektrik yang kurang meyakinkan.

“Untuk isu penggunaan sumber air dan elektrik, kita akan panjangkan kepada PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) dan TNB (Tenaga Nasional Berhad) sama ada menjadi kesalahan atau tidak.

“Pada masa sama, kita juga curiga dengan penggunaan logo halal yang diletakkan pada mesin air ini sama ada telah mendapat kebenaran daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) atau digunakan untuk tujuan pemasaran semata-mata,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tindakan penyitaan dalam operasi yang dijalankan selama dua hari bermula semalam itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Dalam pada itu Mohd. Wazir berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana pemilik mesin air yang masih berdegil walaupun pernah dikenakan tindakan sama sebelum ini.

“Kita akan beri tempoh selama 14 hari kepada pemunya mesin-mesin air ini untuk hadir ke mana-mana pejabat kesihatan berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Sekiranya selepas tempoh tiga bulan masih gagal berbuat demikian, kita akan buka kertas pertuduhan dan membuat permohonan kepada mahkamah untuk melupuskan semua mesin yang disita ini,” jelasnya.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius isu mesin air yang beroperasi tanpa lesen serta terdedah kepada persekitaran kotor walaupun belum ada kes keracunan yang dilaporkan berpunca daripada mesin air setakat ini.

Katanya, pemantauan secara berkala iaitu setiap tiga atau enam bulan sekali akan dilakukan bagi memastikan tahap kebersihan mesin serta persekitarannya terkawal.

Pada masa sama, Mohd. Wazir turut menasihatkan orang ramai berhati-hati menggunakan mesin air dan hanya memilih mesin air yang selamat iaitu mempunyai penandaan berlesen daripada Kementerian Kesihatan.

“Kita telah buat ‘tagging‘ (penandaan) untuk mesin-mesin air yang selamat digunakan manakala mesin-mesin air yang tidak mempunyai ‘tagging‘ itulah sasaran kita (ketika operasi),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN