JOHOR BAHRU: Kerajaan menjangkakan seramai 5,000 hingga 10,000 pekerja Indonesia dihantar negara tersebut untuk bekerja di Malaysia bulan depan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kemasukan itu bakal mengisi keperluan yang diperlukan di sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmad domestik Indonesia (PDI).
“Memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia sudah ditandatangani, saya cadangkan 5,000 ke 10,000 pada peringkat awal termasuk pembantu rumah dan sektor lain turut dibenarkan,” katanya selepas merasmikan Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ), di sini hari ini.
Semalam, pertemuan Saravanan dengan rakan sejawatnya di Indonesia, Ida Fauziyah dilaporkan bersetuju melaksanakan konsep ‘one maid one task’ iaitu seorang PDI boleh berkhidmat bagi isi rumah tidak melebihi enam orang.
Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Malaysia-Indonesia mengenai Pengambilan dan Penempatan PDI akan diadakan minggu depan bagi memperincikan perkara itu serta membolehkan kesepakatan dicapai agar MoU PDI dapat dimeterai seawal Januari depan.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, satu Jawatankuasa Khas di bawah Jabatan Tenaga Kerja akan diwujudkan dalam masa terdekat bertujuan membela nasib warga kerja PDI.
“Penubuhan jawatan kuasa ini adalah inisiatif kerajaan setelah mencapai persetujuan dengan Indonesia dan menjadi tanggungjawab untuk membela nasib pekerja mereka,” katanya.
Katanya, negara jiran itu juga memohon kerajaan menetapkan gaji minimum bagi rakyatnya yang bekerja di negara ini sebanyak RM1,500 sebulan.
“Kita tidak boleh tetapkan gaji RM1,500 kerana kita masih lagi kuatkuasa gaji minimum RM1,200 sebulan. Namun, saya bersetuju gaji bermula dari RM1,200. Sekiranya, majikan sanggup bayar RM1,500 sebulan kita tiada halangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE