KUALA LUMPUR: Perdana Menteri perlu berkecuali daripada proses pemilihan hakim-hakim baharu bagi menggantikan individu yang telah bersara wajib.
Perkara itu merupakan antara gesaan Sekretariat Pertahanan Sistem Kehakiman yang dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini.
Sekretariat itu dalam kenyataan berkata, nama individu-individu yang disyorkan untuk menggalas tugas hakim-hakim kanan hendaklah berdasarkan kelayakan, integriti, senioriti dan bukan atas hubungan atau kecenderungan politik.
Malah juga tidak harus wujud situasi konflik kepentingan Perdana Menteri dalam pelantikan posisi-posisi tertinggi badan Kehakiman negara lebih-lebih lagi apabila wujud kes-kes di Mahkamah yang melibatkan dalam kapasiti peribadi.
Gesaan itu merupakan fokus di antara enam resolusi yang dipersetujui dalam sidang meja bulat tersebut.
Turut serta dalam sidang meja bulat tersebut, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dalam resolusi itu juga turut menyentuh tentang peranan Dewan Rakyat iaitu keperluan membuat pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 agar Perdana Menteri tidak lagi terlibat dalam proses pelantikan hakim.
Menurut Sekretariat itu, usaha tersebut dilihat perlu bagi memantau proses pelantikan mana-mana jawatan tinggi dalam negara agar tidak diganggu-gugat oleh Eksekutif yang berkuasa.-UTUSAN











