100 Hari Keluarga Malaysia: Masih banyak perlu dilakukan untuk Sabah - Utusan Malaysia

100 Hari Keluarga Malaysia: Masih banyak perlu dilakukan untuk Sabah

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencapaian sekitar 90 peratus prestasi kerja 100 hari Kabinet, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum memberi apa-apa perubahan kepada negeri Sabah.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, tempoh 100 hari tidak memberikan apa-apa perubahan khususnya dalam membantu negeri Sabah dari aspek keselamatan, kesihatan dan pendidikan. 

Malah katanya, Sabah masih menguasai 10 daerah termiskin di negara ini apabila lapan daripada terletak di negeri itu meskipun ia merupakan wilayah pengeluar minyak dan gas serta mempunyai banyak khazanah alam semulajadi

“Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) masih dengan dasar dan pendekatan lama khususnya mengenai ketidakadilan aspek agihan pembangunan dan keseriusan putrajaya dalam membantu sabah dari segi keselamatan, kesihatan dan pendidikan. 

“Kami masih dilayan sebagai ‘Anak Tiri’. Nothing much to show in Sabah, melainkan daripada 10 daerah termiskin di Malaysia, tetapi lapan terletak di Sabah, 

“Wilayah pengeluar minyak dan gas serta mempunyai banyak khazanah alam semulajadi, namun peningkatan daerah termiskin selain tertinggi (bagi kategori) jumlah pengangguran di Malaysia adalah bukti kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) kemudian gabungan Perikatan Nasional (PN), BN. 

Semalam, media melaporkan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan prestasi kerja 100 Hari Jemaah Menteri Kabinet diterajuinya mencapai sekitar 90 peratus dan berikrar untuk terus mendengar lebih banyak pandangan dan luahan rakyat bagi menambah baik sistem penyampaian serta perkhidmatan kerajaan. 

Perdana Menteri berkata, peratusan yang dicapai tersebut bukan alasan untuk Jemaah Menteri mendabik dada, sebaliknya mereka perlu menjadikannya sebagai penyuntik kesungguhan dan iltizam untuk terus bekerja bersama rakyat.

“Pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia tidak akan terhenti setakat ini. Malah aspirasi kami untuk bekerja bersama rakyat akan berterusan, melalui pelan jangka masa sederhana bagi tempoh enam bulan dan sasaran jangka panjang,” katanya.

Pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia berasaskan enam teras iaitu Menstruktur Semula Ekonomi, Menjamin Keselamatan dan Ketenteraman Negara, Meningkatkan Kesejahteraan Sosial, Mempertingkatkan Infrastruktur Menyeluruh, Memperkukuhkan Penyatuan dalam Acuan Keluarga Malaysia dan Memperkasa Penyampaian Perkhidmatan.

Dalam pada itu, Mohd. Azis yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, dari sudut nasional pula, beliau melihat polisi berat sebelah dan disalah guna masih dilakukan oleh pihak kerajaan. 

“Contoh terdekat adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang hanya membenarkan lima pemimpin utama parti bertanding di benarkan masuk ke Sarawak berikutan kononnya akibat varian baharu Covid-19, Omicron. 

“Namun, sambutan 100 hari Keluarga Malaysia tiada (pematuhan) prosedur operasi standard (SOP) apabila seolah-olah varian Omicron hanya menyerang rakyat yang mendengar ceramah pilihanraya, tetapi tidak kepada sambutan Keluarga Malaysia,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN