GAZA: Seorang pakar bedah Britain terkejut dengan tahap kemusnahan di sebuah hospital di Gaza dan tidak pernah melihat begitu banyak kecederaan akibat letupan, ketika Israel meningkatkan operasi ketenteraan di wilayah itu.
Pengalaman itu dikongsikan anggota delegasi perubatan Britain, Victoria Rose, ketika melawat Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza.
Rose, yang pernah bertugas di Gaza sebelum ini, mendedahkan melihat banyak kes melecur teruk, kecederaan biasa bagi mangsa letupan.
“Saya tidak pernah melihat begitu banyak kecederaan letupan dalam hidup saya, dan saya tidak pernah melihat begitu banyak kecederaan di Gaza sepanjang saya ke sini.
“Kami turut melihat turut melihat kecederaan (melecur) seperti ini pada kanak-kanak kecil,” kata Rose dari wad pediatrik Hospital Nasser.
Dengan Israel melancarkan puluhan serangan udara setiap hari sejak menyambung semula pengeboman pada 18 Mac, pihak kemanusiaan berkata, tiada lagi tempat selamat di Gaza.
Rose berkata, kes melecur teruk yang disaksikannya semasa lawatan amat sukar untuk diselamatkan, walaupun di negara Barat yang tidak dilanda perang dan mempunyai kemudahan perubatan lengkap.
“Jadi di sini, kebanyakan kes melecur hampir mustahil untuk diselamatkan,” katanya.
KEMUDAHAN PERUBATAN DILETUPKAN
Selain kes melecur, beliau berkata, ramai mangsa di Gaza turut mengalami kecederaan serius akibat ditembusi serpihan objek semasa letupan.
Menurutnya, mangsa sering mengalami amputasi sebahagian atau keseluruhan anggota badan dalam serangan bom, dan memandangkan mereka tinggal di khemah, kecederaan itu biasanya dipenuhi dengan kotoran tanah.
“Tindakan pertama kami adalah membersihkan luka, kemudian menutupnya dan cuba menyelamatkan sebanyak mungkin bahagian anggota badan,” katanya.
Namun, situasi menjadi lebih rumit apabila kemudahan perubatan semakin berkurangan di Gaza, termasuk Hospital Nasser.
“Di tingkat dua, salah satu wad musnah akibat letupan dan juga di tingkat empat pula, unit rawatan melecur turut diletupkan,” katanya.
Minggu lalu, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) melaporkan, 94 peratus hospital di Gaza kini rosak atau musnah, dan separuh daripadanya tidak lagi beroperasi.
Pasukan penyelamat berkata, serangan udara Israel di Gaza pada Isnin mengorbankan sekurang-kurangnya 80 orang, termasuk 33 mangsa yang berlindung di sebuah sekolah.
CADANGAN GENCATAN SENJATA
Kelmarin, Washington menolak dakwaan Hamas bahawa kumpulan pejuang menerima cadangan gencatan senjata Gaza selama 70 hari, melibatkan pembebasan 10 tebusan dalam dua kumpulan.
Sumber Hamas memberitahu AFP, kumpulan pejuang bersetuju dengan cadangan baharu yang dikemukakan oleh utusan khas Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk Asia Barat, Steve Witkoff, yang diterima daripada pengantara.
Namun, laporan Axios, yang disahkan kepada AFP oleh jurucakap Witkoff, mendakwa utusan AS itu menafikan Hamas bersetuju dengan cadangannya.

“Utusan Rumah Putih, Steve Witkoff menolak dakwaan Hamas bahawa kumpulan itu menerima cadangan beliau untuk perjanjian tebusan dan gencatan senjata,” kata wartawan Axios, Barak Ravid di platform X.
Apabila diminta mengulas kenyataan tersebut, jurucakap Witkoff mengesahkan hantaran Axios adalah tepat.
Rangka cadangan perjanjian baharu itu didedahkan ketika Israel meningkatkan serangan ketenteraan di wilayah Palestin, dan disusuli beberapa rundingan terdahulu yang gagal mencapai kemajuan.
Sumber Hamas berkata, perjanjian itu merangkumi gencatan senjata selama 70 hari sebagai pertukaran untuk pembebasan 10 tebusan dalam dua kumpulan.
Sepanjang tempoh itu, rundingan akan dimulakan bagi mencapai gencatan senjata kekal dengan jaminan daripada AS.
AS, Mesir dan Qatar memainkan peranan sebagai pengantara dalam rundingan gencatan senjata sepanjang perang itu.
Gencatan senjata terakhir antara Israel-Hamas runtuh selepas dua bulan, dengan Israel menyambung semula operasi ketenteraan pada 18 Mac.
IKRAR NETANYAHU
Benjamin Netanyahu meneruskan ‘ikrar membosankan’ apabila beliau memberi jaminan untuk membawa pulang semua tebusan, tidak kira yang masih hidup atau tidak.
Janji itu dibuat ketika Israel terus membedil Gaza menyaksikan lebih 80 orang maut sejak kelmarin.
“Jika kita tidak lakukan hari ini, kita akan buat esok dan jika tidak esok, hari-hari seterusnya.
“Israel tidak akan berputus asa dalam membawa balik semua tebusan,” katanya.
Netanyahu ketika ini berdepan tekanan hebat daripada pelbagai pihak yang kebanyakannya menyifatkan pemimpin angkuh itu sebagai pentingkan diri. – AFP










