Zulkifli perkukuh nama Malaysia dalam sidang Dunia Islam-Rusia di Jeddah - Utusan Malaysia

Zulkifli perkukuh nama Malaysia dalam sidang Dunia Islam-Rusia di Jeddah

ZULKIFLI Mohamad al-Bakri ketika menghadiri Persidangan Kumpulan Wawasan Strategik Dunia Islam – Rusia di Jeddah, Arab Saudi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berjaya memperkukuhkan lagi nama Malaysia di Jeddah, Arab Saudi apabila muncul dalam Persidangan Kumpulan Wawasan Strategik Dunia Islam – Rusia di Hotel Ritz-Carlton di bandar tersebut semalam bersama-sama 33 tokoh Muslim ternama sejagat.

Ini penampilan julung kali beliau di peringkat antarabangsa setelah tidak memegang jawatan Kabinet sejak akhir Ogos lalu dalam persidangan yang melibatkan 27 buah negara tersebut.

Zulkifli tiba di Jeddah kelmarin untuk menghadiri program itu atas pelawaan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Farhan Al Saud dan Pengerusi Kumpulan berkenaan, Rustam Minnikhanov.

Menerusi hantaran dalam akaun sosialnya, beliau menzahirkan perasaan bersyukur kerana dapat mengukuh nama baik Malaysia selaku negara Islam yang disegani di peringkat global.

“Saya turut berkesempatan bertukar fikiran dengan sahabat dikasihi, Mufti Mesir, Syeikh Dr. Shawki Ibrahim Abdel Karim Allam yang dikenali sejak sekian lama,” tulis beliau.

Persidangan berprestij itu juga mempertemukannya dengan Ketua Setiausaha Majlis Komuniti Muslim Antarabangsa, Dr. Mohamed Bechari yang berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurutnya, jaringan antarabangsa strategik sebegini adalah penting untuk Malaysia dan seterusnya memberi manfaat umat Islam serta rakyat negara ini secara amnya.

Persidangan itu dimulakan dengan titah aluan Penasihat Penjaga Dua Tanah Suci, Putera Khalid Al Faisal yang menyentuh hubungan dua hala Rusia dengan negara-negara Islam, disusuli ucapan Rustam yang juga Presiden Tatarstan, sebuah republik dalam Rusia dan ditauliahkan oleh presiden persekutuan tersebut, Vladimir Putin sebagai pengerusi kumpulan.

Acara forum tahunan itu menjadi wadah dialog penting Rusia setelah diterima sebagai negara yang berstatus pemerhati dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 2006.

Kepentingan kumpulan ini amat signifikan kerana memberi manfaat hampir 30 juta umat Islam di Rusia yang kini ada lebih 8,000 masjid dan dianggap agama paling pesat berkembang.

Pada 30 November pula, Zulkifli akan menghadiri Mesyuarat Majlis Hukama’ al-Muslimin di Abu Dhabi, UAE sebagai anggota tetapnya yang telah dilantik rasmi sejak tahun lepas.

Program berkenaan akan dipimpin sendiri oleh Pengerusi Majlis yang juga Syeikh Al-Azhar, Syeikh Ahmed al-Tayyib sebelum menghadiri satu lagi acara di bandar itu pada 5 Disember.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya