PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi Yayasan Bank Rakyat menaja RM300,000 bagi Program Prestij Pembelajaran Negeri Selangor bagi tahun 2021 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) khas kepada guru serta murid di seluruh negeri Selangor.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, program tersebut dilihat sebagai satu aktiviti yang dapat membantu meningkatkan motivasi dan profesionalisme guru-guru melalui program sokongan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Katanya, program itu juga dilihat dapat memantapkan fokus pengajaran dan pembelajaran murid dalam menghadapi peperiksaan utama akan datang.
“Saya amat berterima kasih dan menyokong inisiatif Yayasan Bank Rakyat dalam membantu dan memberi sokongan bagi meningkatkan kualiti pendidikan terutamanya di Selangor.
“Saya juga berharap agar lebih banyak lagi entiti-entiti korporat dan organisasi lain akan hadir bagi membantu dalam menaja program yang sebegini.
“Inisiatif yang diusahakan oleh Yayasan Bank Rakyat ini membuktikan bahawa syarikat-syarikat korporat turut mengambil berat dan memberi sokongan terhadap institusi pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain berkata, tajaan itu bertujuan melaksanakan program-program holistik untuk meningkatkan prestasi dan kecemerlangan murid-murid di seluruh negeri Selangor.
Katanya, hasil daripada makluman yang diterima, enam program yang dirancang awal bagi setiap PPD itu diharapkan dapat meningkatkan minat dan perhatian murid dalam sesi pembelajaran dan pengajaran (pdp) ketika dalam suasana pandemik.
“Terutamanya mempertingkatkan platform pembelajaran secara digital sebagai alternatif pembelajaran,” jelasnya.
“Melalui tajaan program yang disalurkan ini juga diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh guru-guru dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan memantapkan lagi ilmu pedagogi melalui perkongsian amalan terbaik serta kepakaran di peringkat daerah,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE