Wilayah Persekutuan mungkin benar saf rapat bergantung situasi Covid-19

Wilayah Persekutuan mungkin benar rapatkan saf solat

AHMAD Marzuk Shaary ketika hadir pada program penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Ampang, Selangor, semalam. – IHSAN RTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih empat juta Muslim di tiga Wilayah Persekutuan mungkin dibenarkan merapatkan saf ketika menunaikan solat fardu secara berjemaah dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary bagaimanapun berkata, ketetapan muktamad mengenai perkara tersebut masih lagi bergantung kepada trend semasa kadar jangkitan wabak Covid-19 di kesemua tiga wilayah berkenaan.

“Perbincangan itu sebenarnya sentiasa berjalan dari dulu sampai sekarang, malahan ada disentuh dalam mesyuarat pasca-Kabinet terakhir Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Insya-Allah kita lihat sekiranya ada penelitian terkini berdasarkan keadaan semasa dan kalau kes turun, barangkali tidak mustahil saf rapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” jelasnya seperti dipetik laporan Berita RTM semalam.

Pada 17 Oktober lalu, Menterinya, Idris Ahmad memaklumkan bahawa Jakim bakal mengatur muzakarah khas bagi membincangkan kelonggaran aktiviti pengimarahan masjid dan surau termasuklah cadangan agar prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah dirapatkan balik tanpa ada jarak fizikal minimum satu meter seperti keadaan sebelum wabak Covid-19.

Ia susulan langkah kerajaan Arab Saudi meliputi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di dua kota suci Tanah Haram membolehkan umat Islam di negara tersebut mendirikan solat fardu dengan saf rapat selepas lebih setahun ia dijarakkan, namun jemaah masih wajib memakai pelitup muka serta sudah pun lengkap dua dos vaksin.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Marzuk sebaliknya berkata, jika kadar penularan bertambah kembali, penilaian berikutnya akan diteliti pihaknya dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jakim juga akan meminta nasihat Kementerian Kesihatan kerana ini juga demi melindungi nyawa ramai jemaah lain dan bagi elak daripada berlaku kluster rumah ibadat pula,” tegasnya.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan bilakah dapat dilaksanakan SOP baharu solat berjemaah itu, tetapi ia bakal diumumkan setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kapasiti makmum solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat secara berjemaah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ketika ini berdasarkan keluasan premis dengan jarak satu meter sebagaimana ketetapan diumumkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu berkuat kuasa 1 Oktober lalu selepas tiga wilayah ini beralih kepada fasa empat Pelan Pemulihan Negara.

Pada masa ini, ada sejumlah 69 masjid di Kuala Lumpur, 15 lagi di Labuan dan tiga di Putrajaya, manakala surau pula terdapat 518 di Kuala Lumpur, 43 di Labuan dan 111 di Putrajaya.

Kerajaan Johor minggu lalu mengumumkan bakal membenarkan saf jemaah dirapatkan pada awal Januari depan melibatkan sejumlah 822 masjid dan 2,042 surau di negeri tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya