Waspada penipuan segerakan giliran haji - Utusan Malaysia

Waspada penipuan segerakan giliran haji

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Orang ramai terutamanya pendeposit Tabung Haji (TH) dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan sebarang tawaran bertujuan untuk menyegerakan giliran haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, giliran menunaikan haji adalah berdasarkan sistem pendaftaran yang telah dilaksanakan sejak awal penubuhan institusi kewangan itu.

“Apa yang penting, sebarang pengumuman rasmi adalah dari pihak Tabung Haji terutama Ketua Pegawai Eksekutifnya dan saya sendiri.

“Sebab itu saya pesan, jika ada orang hantar benda macam itu (tawaran penipuan), kalau kita boleh kesan nombornya, laporkan kepada polis untuk ditangkap.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Orang mahu tunaikan haji tetapi ada pula pihak ambil kesempatan. Saya harap bakal jemaah haji dan pendeposit tidak percaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serahan Program TH Prihatin 2021 Negeri Perak di Dewan Utama, Pejabat TH Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Pengarah Wilayah Tengah, Khairoddin Ahmad dan Pengarah TH Perak, Mohamad Abas.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan kononnya terdapat ejen yang dilantik di mana mereka membuat tawaran berkaitan urusan haji termasuk mempercepatkan giliran menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, Amrin berkata, kegiatan penipuan itu membimbangkan bukan sahaja kepada jemaah haji tetapi juga pendeposit TH.

Katanya, sebarang tawaran haji adalah melalui panggilan terus daripada TH diikuti surat tawaran, bukannya melalui mesej di aplikasi WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Kita selalu uar-uarkan melalui media sosial mahupun laman web THiJARI yang TH tidak mempunyai tawaran badal haji dan tawaran haji juga dibuat melalui giliran sejak mula lagi.

“Jadi, jika ada orang kata masukkan duit (pembayaran untuk percepatkan giliran), itu tidak betul,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN