Berkampung di Asam Pedas selera kampung

Berkampung di Asam Pedas selera kampung

menu popular di Restoran Asam Pedas Selera Kampung di Plaza Mahkota, Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU memang masakannya sedap, jauh berbatu-batu macam mana pun, ia bukan penghalang untuk orang ramai datang untuk menikmati lagi menu yang sentiasa teringat-ingat apabila menyebutnya.. apatah lagi menunjukkan hidangan Restoran Asam Pedas Selera Kampung di Plaza Mahkota, Banda Hilir, Melaka.

Apatah lagi, kalau sebut pasal asam pedas, Melaka memang terkenal dengan masakan tersebut.

Oleh itu, apabila ada cuti panjang atau berpeluang berkunjung di sana, orang luar pasti tidak mahu ketinggalan menikmati hidangan ikonik negeri itu.

Itu yang berlaku pada Restoran Asam Pedas Selera Kampung di Plaza Mahkota, Banda Hilir baru-baru ini yang mencatat rekod jualan tertinggi lebih RM35,000 sehari pada cuti sambutan Hari Malaysia.

Pemiliknya, Saharudin Mohd. Nor memberitahu, hasil jualan itu adalah tertinggi sepanjang tempoh 35 tahun dia menjalankan perniagaan asam pedas.

Ceritanya, apabila restoran tersebut dibuka pada pukul 8 pagi pada hari berkenaan, orang ramai mula menyerbu hingga terpaksa beratur panjang untuk menikmati hidangan asam pedas.

“Belum pernah sepanjang tempoh 35 tahun saya membuka restoran asam pedas dan mula berniaga di Plaza Mahkota pada 2014, saya merekodkan jualan tertinggi seperti ini.

“Sejak restoran ini dibuka lebih 11 tahun di sini, ini kali pertama orang ramai khususnya dari luar Melaka berpusu-pusu ingin memasuki restoran saya.

“Restoran saya boleh memuatkan 500 orang pada satu-satu masa tetapi kehadiran pelanggan di luar jangkaan hingga pekerja saya tidak menang tangan melayani pesanan makanan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Saharudin berkata, kebanyakan pelanggan memesan asam pedas jenahak, pari, tenggiri, daging tetel dan kembung hingga memerlukan mereka memasak berkali-kali untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Menurut beliau, asam pedas tersebut dimasak dengan resipi tradisional Melaka yang diwarisi turun temurun.

Dalam pada itu, katanya, bahan-bahan masakan yang digunakan juga segar ternasuk ikan, udang ayam dan sayur-sayuran.

Pelanggan, Kamil Ahmad, 56, dari Selayang Baru, Selangor berkata, dia amat menggemari asam pedas di restoran berkenaan dan sanggup beratur panjang.

“Walaupun terpaksa beratur panjang, saya isteri dan dua anak sanggup tunggu hingga kami mendapat meja. Ini kali ketiga kami menjamu selera di sini,” ceritanya.

Seorang lagi pelanggan, Robiza Abdul Rahman, 45, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur berkata, dia tidak menjangkakan perlu berdepan kehadiran pengunjung yang terlalu ramai.

“Saya pernah sekali tahun lalu menjamu selera di sini dan kesempatan cuti panjang serta kebetulan menginap di hotel di kawasan Plaza Mahkota. Kami tetap mahu makan di restoran asam pedas ini walaupun terpaksa beratur lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×