KUALA LUMPUR: Seramai 4,483 wanita berjaya menjana pendapatan melalui tawaran pekerjaan dan keusahawanan dalam program insentif Wanita Bangkit@KPWKM oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, seramai 589 wanita mendapat peluang pekerjaan dalam sektor peruncitan, makanan dan farmasi manakala 3,894 lagi berjaya dalam bidang keusahawanan.
Menurut beliau, program itu menawarkan 16,827 peluang pekerjaan daripada permulaan program pada Mac sehingga sekarang.
“Program ini memberi fokus kepada aktiviti penjanaan pendapatan oleh golongan wanita melalui sektor formal iaitu dengan menghubungkan peluang pekerjaan kepada wanita.
“Juga dalam sektor informal iaitu mendekatkan wanita kepada platform dan peluang perniagaan atau keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penganjuran Karnival Kerjaya dan Usahawan Wanita yang menawarkan 2,286 peluang pekerjaan, melibatkan 13 majikan dan enam usahawan seluruh Malaysia di sini hari ini.
Rina menambah, pihaknya berharap insiatif Wanita Bangkit@KPWKM menjadi wadah kementerian dalam usaha memperkasakan wanita dalam sektor ekonomi yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
“Sasaran penyertaan wanita dalam sektor ekonomi mencapai 59 peratus pada 2025.
“Menerusi inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM, kementerian menyasarkan 2,000 orang wanita menjana pendapatan melalui tawaran pekerjaan dan keusahawanan bagi tempoh 100 hari di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia yang telah digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.
Beliau menyeru wanita untuk tidak melepaskan peluang bertemu dengan majikan-majikan yang sedia menawarkan pekerjaan dan membuka peluang bagi wanita dalam kalangan suri rumah, ibu tunggal, B40 dan M40 untuk menyara diri dan keluarga.










