JOHOR BAHRU: Gara-gara ‘kenakalan’ Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengusik pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Dewan Pemuda Pas Negeri Johor memohon maaf kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini.
Ini susulan ‘percakaran’ di media sosial antara Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan Tunku Mahkota Johor.
Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, pihaknya mengambil maklum akan perlawanan yang berlangsung antara pasukan JDT dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, semalam.
Menurutnya, dikhuatiri berlaku salah faham berpunca kekhilafan laras bahasa digunakan Muhammad Sanusi kepada Tunku Mahkota Johor lantaran teguran yang diberikan merujuk kepada isu tunggakan gaji para staf dan pemain KDA FC.
“Tanpa niat menderhaka, kami percaya bahawa beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Menteri Besar Kedah hanya membangkitkan semangat kesukanan, bukan atas dasar kepentingan peribadi.
“Justeru, Dewan Pemuda Pas Negeri Johor dengan rendah hati ingin merafak sembah ampun kepada Tunku Mahkota Johor di atas kekhilafan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan dimuat naik dalam laman Facebooknya hari ini.
Pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia antara kedua-dua pasukan itu berakhir tanpa jaringan.
Selepas tamat pertemuan itu, Muhammad Sanusi membuat hantaran di Facebook peribadinya dengan ‘mengejek’ Tunku Ismail setelah JDT gagal mencatatkan kemenangan di Alor Setar.
“Diet sakan pun tak boleh menang jugak, tertomos (tersembam) pulak,” tulis Muhammad Sanusi.
Ahmad Nawfal yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Johor turut berkata, payung rakyat adalah insitusi berajanya.
“Dewan Pemuda Pas Negeri Johor sentiasa mendukung aspirasi institusi Istana Johor terutamanya kepada Tunku Ismail sebagai penaung kepada para belia di negeri ini yang telah berjaya membuktikan kejayaan pembangunan dan kemajuan bola sepak di persada negara dan antarabangsa,” katanya.
Terdahulu melalui Instagram Tunku Ismail, baginda mengirim sejambak bunga dan bungkusan makanan segera kepada Muhammad Sanusi dengan ucapan yang menyebut ‘dengan ingatan tulus ikhlas dari TMJ’.
Muhammad Sanusi kemudian memuat naik ucapan menjunjung kasih di atas pemberian itu sambil menyebut mengenai perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis ini antara kedua-dua pasukan.