KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan perarakan pengantin diraja sempena Pernikahan Diraja Raja Muda Selangor tidak mengganggu urusan harian rakyat khususnya di pusat bandar ini.
Istana Alam Shah dalam satu kenyataan berkata, baginda bertitah, hanya satu jalan sahaja ditutup iaitu Jalan Istana iaitu lokasi perarakan di di hadapan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi.
“Baginda amat prihatin dan tidak berkenan sekiranya terlalu banyak jalan ditutup yang boleh mengganggu urusan harian rakyat jelata khususnya penduduk di sekitar bandaraya Klang.
“Baginda mahu rakyat dapat menyaksikan istiadat perarakan yang julung-julung kali diadakan ini dalam keadaan yang selesa dan aman,” kata kenyataan itu, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Jalan Istana yang menghubungkan pusat bandar daerah ini dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dengan Istana Alam Shah ditutup kepada semua kenderaan pada 2 Oktober depan sempena perarakan Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor.
Penutupan jalan tersebut bermula pada pukul 8 pagi hingga 10 pagi pada hari sama bagi membolehkan perarakan rombongan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bergerak melalui jalan tersebut sepanjang 650 meter.
Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan sebanyak 12 laluan di sekitar pusat bandar Klang ditutup bermula pukul 7 pagi Isnin dan Khamis sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor di Istana Alam Shah.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dalam kenyataannya berkata jalan-jalan terlibat seperti Jalan Stesen, Jalan Tengku Diaudin, Jalan Dato’ Hamzah dan Jalan Bulatan Simpang Lima.
Selain itu, ia turut melibatkan penutupan beberapa laluan seperti Jalan Istana ke Bulatan Simpang Lima, Jalan Stadium Sultan Suleiman, Lorong Tingkat, Jalan Pegawai, Jalan Tengku Kelana 2, Jalan Raja Jumaat dan Jalan Bukit Istana.
Pernikahan diraja antara Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz berlangsung pada Khamis depan dekat Istana Alam Shah. – UTUSAN










