UMNO-Bersatu bakal bertembung di Parlimen Beaufort - Utusan Malaysia

UMNO-Bersatu bakal bertembung di Parlimen Beaufort

AWANG Aslee Lakat (kiri) merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok di Beaufort semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEAUFORT: Keputusan UMNO bahagain untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menyaksikan pertembungan kerusi bakal berlaku di Parlimen Beaufort.

Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, pihaknya berpendirian untuk meletakkan calon bertanding di kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) tersebut.

“Tidak ada sebab UMNO tidak meletakan calon pada PRU akan datang memandangkan kerusi Parlimen ini dimenangi di bawah tiket BN pada PRU lalu.

“Namun, apabila berlakunya rentas parti oleh Ahli Parlimen Beaufort tanpa persetujuan daripada ahli-ahli UMNO bahagian, ia menyebabkan kawasan itu beralih kepada parti lain,” katanya selepas merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok, di sini semalam.

Awang Aslee berkata, walaupun berlaku rentas parti, UMNO bahagian masih lagi teguh tanpa ada mana-mana cawangan yang dibubarkan dan ia jelas menunjukkan UMNO Beaufort masih kukuh sehingga sekarang.

Menurutnya, terdapat lebih daripada 224 cawangan-cawangan UMNO masih berfungsi seperti biasa dan bersiap sedia bagi menghadapi PRU-15 akan datang.

“Saya yakin ahli-ahli yang kekal sehingga sekarang adalah mereka yang setia kepada prinsip perjuangan dan tidak ada sebab untuk kita melepaskan kawasan ini pada PRU-15.

Mengulas lanjut katanya, momentum dan sambutan ahli-ahli UMNO masih berada pada tahap yang tinggi. Malah, kehadiran mereka ke mesyuarat cawangan-cawangan begitu menggalakkan walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Saya yakin semangat dan kesetiaan mereka kepada parti masih kukuh malah ada ahli-ahli baharu yang berminat menyertai perjuangan UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Aslee turut menerima kemasukan 49 ahli baharu dari daerah mengundi Takuli.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO bahagian, yang juga Ketua Wanita UMNO bahagian Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching, Naib Ketua UMNO bahagian Awang Damit Jion dan Ketua Penerangan UMNO bahagian Abdullah Satar.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Beaufort dimenangi oleh Datuk Seri Azizah Mohd. Dun di bawah tiket UMNO sebelum beliau bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 15 Mac 2019.

Azizah memenangi kerusi Parlimen Beaufort dengan majoriti 3,331 undi setelah memenangi 11,354 undi menewaskan dua pencabar terdekat Datuk Seri Lajim Ukin (Parti Harapan Rakyat Sabah) yang memperoleh 8,023 undi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya