Tujuh anggota keselamatan dicekup berfoya-foya di kelab

Tujuh anggota keselamatan dicekup berfoya-foya

SERAMAI 14 daripada yang ditahan merupakan warga asing dengan sembilan adalah lelaki dan lima wanita dalam serbuan di Taman Melaka Raya, Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tujuh anggota pasukan keselamatan antara 80 yang ditahan ketika berfoya-foya di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, di sini semalam. 

Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 62 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, kira-kira pukul 1.20 pagi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, bertindak atas maklumat awam, serbuan tersebut dilakukan dan seramai 80 individu didapati berseronok dalam pusat hiburan berkenaan. 

Jelasnya, pemeriksaan lanjut turut mengesan tujuh daripada yang ditahan merupakan anggota pasukan keselamatan berusia antara 34 hingga 42 tahun. 

“Saringan ujian air kencing telah dijalankan terhadap kesemua yang ditahan dengan lima daripadanya didapati positif dadah. 

“Keputusan saringan ujian air kencing tujuh penjawat awam lelaki itu bagaimanapun didapati negatif,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini. 

Tambahnya, 14 daripada yang ditahan merupakan warga asing dengan sembilan adalah lelaki dan lima wanita. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 65 kompaun dengan jumlah keseluruhan RM260,000 telah dikeluarkan kepada pengunjung tempatan. 

“Selain itu, penjaga premis yang merupakan warga asing dikenakan kompaun berjumlah RM10,000 dan dia ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen. 

“Mereka yang didapati positif dadah pula disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. 

Kesemua warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen, Seksyen 6 (1) (C) akta sama dan Peraturan 39B. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya