MELAKA: Tindakan 500 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan keluar parti ketika hari pengundian semakin hampir disifatkan sebagai gimik politik murahan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, tindakan keluar parti sudah menjadi kebiasaan setiap kali berlakunya pilihan raya.
Menurut beliau, rakyat jemu dengan gimik sedemikian kerana mereka lebih berminat untuk mengetahui apakah tawaran-tawaran daripada parti politik yang bertanding.
“Jumlah yang digambarkan sangat besar sehingga 500 atau 1,000 orang. Tapi apa buktinya seramai itu ahli yang keluar sedangkan yang hadir untuk serah borang cuma dua atau tiga orang sahaja.
“Rakyat tidak mahu tengok politik murahan seperti ini. Saya tidak mahu mengulas dengan terperinci kerana jika ada yang keluar pun, jumlahnya jauh meleset berbanding yang diberitahu,” katanya dalam sidang akhbar 13 Ikrar Rafiq di sini hari ini.
Semalam, seramai 500 ahli Bersatu di empat pusat daerah mengundi (PDM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu mengisytiharkan keluar parti serta-merta.
Mereka terdiri daripada ahli-ahli di PDM Pasir Puteh, Taman Rumpun Bahagia, Peringgit dan Kampung Pengkalan Batu.
Mohd. Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, fokus beliau kini adalah untuk memenangkan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Kalau saya kata tidak terkesan langsung, itu mungkin terlalu idealistik. Bagaimanapun tindakan keluar parti tidak mengganggu proses persiapan parti. Fokus PN tidak terjejas dengan gangguan seperti itu,” katanya.










