KLANG: Tiga lelaki direman bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pemberi pinjaman wang atau ah long di hadapan sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, semua individu berkenaan berusia antara 18 hingga 46 tahun.
“Tiga lelaki itu direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 17 November depan.
“Permohonan reman berkenaan dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Klang,” katanya hari ini.
Tambah beliau, senjata yang digunakan belum ditemukan setakat ini dan operasi pencarian masih dijalankan.
Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari Sabtu lalu, mangsa mati ditetak dengan parang oleh dua penjenayah selepas menikmati makanan di sebuah kopitiam.
Lelaki berusia 47 tahun berkenaan bersama dua anak lelakinya berusia 18 dan 10 tahun sebelum itu sedang menuju ke kereta mereka.
Namun, mangsa ditetak dan sempat melarikan diri di celahan kenderaan sebelum rebah lalu maut di hadapan sebuah restoran lain.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan polis tidak menolak kemungkinan kes bunuh berkenaan mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal memaklumkan motif awal kejadian itu dikenal pasti selepas pihaknya menahan seramai 16 suspek setakat ini.
Kesemua individu itu termasuk lapan lelaki dan dua wanita yang diberkas dalam beberapa operasi di sekitar Lembah Klang dan Johor kelmarin.










