KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri masih berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan kembali hutang sebanyak RM1.4315 bilion unttuk pembinaan projek Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembayaran Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang tertangguh lama itu disebabkan hutang berkenaan tidak diiktiraf Pusat.
Katanya, berdasarkan surat yang ditandatangani oleh seorang individu di Kementerian Kewangan menganggap Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai apa-apa hutang dengan kerajaan negeri hingga 2021.
“Bagaimanapun, kita tidak bersetuju dengan fakta itu kerana kita berpandangan masih ada urusan yang belum selesai berkaitan kewangan hutang dari tanggungan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri,” katanya ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (Pas-Sura) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sebelum ini meluluskan pembayaran balik hutang DKKP berkenaan secara pinjaman pembayaran dalam bentuk (PIK).
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri komited terus berusaha memastikan baki bayaran itu diperoleh kembali.
Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan akan menyiasat dakwaan berhubung pembatalan status Hutan Simpan Gunung Tebu di Besut yang merupakan kawasan eko-pertanian negeri.
“Kita memerlukan maklumat lanjut untuk membuat siasatan tetapi saya ingin menjelaskan terdapat 12 kategori hutan simpan kekal berdasarkan Akta Perhutanan Negara 1984.
“Kategori itu antaranya hutan pengeluaran kayu di bawah perolehan kekal, hutan perlindungan tanah, hutan tebus guna tanah, hutan kawalan banjir, hutan tadahan air, hutan perlindungan hidupan liar, hutan lipur dan hutan penyelidikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










