Taska, tabika Kemas beroperasi sepenuhnya Januari - Utusan Malaysia

Taska, tabika Kemas beroperasi sepenuhnya Januari

MAHDZIR Khalid (dua, kiri) menyerahkan anugerah khas kepada Noh Omar (dua dari kanan) atas sumbangannya terhadap Alumni dan Gerakan 4B Malaysia pada Majlis Perasmian Persidangan Agung Tahunan Alumni 4B Malaysia kali kesembilan di Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Semua 554 taska dan 10,301 buah tabika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dijangka dapat beroperasi sepenuhnya menjelang Januari tahun depan. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengoperasian tersebut bagaimanapun akan dibuat mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. 

Katanya, ketika ini semua institusi pendidikan awal kanak-kanak itu beroperasi mengikut fasa tertentu dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

“Kita jangka awal tahun depan semua akan beroperasi. Apapun, kita telah bersedia (jika operasi taska dan tabika Kemas dibuka sepenuhnya nanti). Guru-guru pun semua telah lengkap divaksin ketika ini,” katanya. 

Beliau ditemui pemberita ketika Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B Malaysia) kali kesembilan di sini malam tadi. 

Yang hadir sama Presiden alumni berkenaan, Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar selaku penerima anugerah penghargaan khas di atas sumbangannya terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu. 

Dalam pada itu Mahdzir berkata, pihaknya bersedia memberi ruang dan peluang untuk sebarang jalinan kerjasama antara Alumni 4B Malaysia dengan mana-mana agensi atau jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) ketika ini. 

Katanya, Alumni 4B Malaysia merupakan sebuah NGO yang mempunyai keahlian yang ramai iaitu sehingga 75,000 ahli dan pertubuhan itu juga sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, kesukarelawanan dan sebagainya. 

“Matlamat kita (hasil kerjasama itu) ialah untuk mencapai kesejahteraan rakyat dan ia boleh dilakukan sama ada menerusi kajian, kerjasama keusahawanan atau sebarang program berkaitan demi kesejahteraan rakyat. 

Tambahnya, Alumni 4B Malaysia juga merupakan kesinambungan daripada Gerakan Belia 4B sekali gus akan memberi kelebihan kepada pertubuhan itu kerana mereka terdiri daripada gabungan dua generasi iaitu muda dan lebih dewasa. 

“Kita berharap lebih banyak NGO seperti ini akan bersama-sama kerajaan dan menyokong serta mendukung dasar kerajaan selaras dengan mesej yang dibawa oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) iaitu untuk Keluarga Malaysia,” ujar beliau.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya