PASIR GUDANG: Kerajaan khususnya Menteri Pengangkutan perlu campur tangan dan mengambil tindakan tegas kepada syarikat penerbangan yang menaikkan harga tiket penerbangan ke Sarawak ketika ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan menaikkan harga tiket penerbangan itu menghalang rakyat negeri berkenaan pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 18 Disember ini.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana ramai rakyat Sarawak yang berada di semenanjung tetapi masih menjadi pengundi berdaftar di negeri berkenaan termasuk di Johor.
“PRN Sarawak akan diadakan pada 18 Disember manakala perayaan Hari Natal akan disambut pada 25 Disember, tetapi harga tiket kapal terbang dari semenanjung naik mendadak. Kenaikan itu terlalu tinggi hingga di luar kemampuan pengundi biasa Sarawak yang menjadi pekerja kilang termasuk di Pasir Gudang.
“Sehubungan itu saya minta Menteri Pengangkutan campur tangan dan ambil tindakan tegas terhadap syarikat penerbangan yang mengambil kesempatan memeras rakyat Sarawak yang ingin pulang melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Baru-baru ini, rakyat khususnya penduduk Sarawak mengadu kenaikan harga tiket kapal terbang untuk pulang ke negeri bumi kenyalang itu dari semenanjung terlalu mahal berbanding hari biasa.
Aduan itu termasuk dibuat selebriti, Zee Avi yang memberitahu harga tiket penerbangan ada sehingga mencecah RM2,000 sehala yang disamakan dengan harga tiket penerbangan ke London. – UTUSAN ONLINE