Strategi khusus optimumkan potensi wanita harus dibentuk

Strategi khusus optimumkan potensi wanita harus dibentuk

TUANKU LAILATUL SHAHREEN AKASHAH KHALIL 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Strategi-strategi khusus bagi mengoptimumkan potensi wanita hendaklah terus dibentuk sejajar dengan peranan golongan tersebut pada masa ini yang bukan sahaja menguruskan rumah tangga, malah sebagai ejen penjana ekonomi keluarga.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah, tanggungjawab wanita semakin mencabar jika dibandingkan dahulu dan bukan mudah bagi mereka untuk mengatasi tekanan serta tuntutan tanggungjawab di antara keluarga dan kerjaya. 

Baginda bertitah, ramai wanita telah berjaya meningkatkan potensi diri dan mampu mengukuhkan ekonomi keluarga dan negara yang dinamakan ’Cabaran Wanita Mendepani Era Dwi-Kerjaya’. 

“Menurut statistik semasa, golongan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi telahpun melepasi sasaran 30 peratus. Mereka ini adalah dalam golongan pembuat dasar di dalam sektor awam dan juga kumpulan pelaksana.

“Menyedari hakikat ini, strategi-strategi yang khusus bagi mengoptimumkan potensi wanita hendaklah terus dibentuk. Antara strategi pelaksanaan yang sudah pun dijalankan adalah seperti pendidikan dan latihan.

“Ini bagi menyedarkan pihak pentadbiran mengenai isu wanita, membasmi diskriminasi, memaju serta menyelaras penyelidikan mengenai isu wanita, dan juga melalui peruntukan anggaran belanjawan yang bertumpu kepada projek pembangunan wanita,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan majlis penutupan ‘Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – Women In Search of Excellence; Pemerkasaan Wanita Dalam Industri Pelancongan’ anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis di sini, semalam.

Sementara itu, baginda turut menyeru semua pihak untuk sama-sama berganding bahu bangkit dalam memajukan sosio-ekonomi bagi merealisasikan pemerkasaan wanita sama ada di dalam bidang pelancongan, keusahawanan ataupun sektor lain.

“Sedarlah, bahawa kita adalah golongan istimewa yang menjadi faktor utama kebahagiaan rumah tangga dan juga tonggak pembangunan negara,” titah baginda lagi.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah merasmikan pembukaan program tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN