SEREMBAN: Sebuah stadium khusus untuk aktiviti sukan bola sepak di sawah bernilai RM600,000 yang merupakan satu-satunya di negara ini bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, stadium itu terletak di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah, berkeluasan dua hektar dan mempunyai lapan petak sawah.
“Stadium ini mempunyai lapan petak sawah berkeluasan dua hektar yang menjadi lokasi penganjuran aktiviti sukan dan riadah seperti bola sepak sawah, pertandingan mengoca dan panjat tiang licin,” katanya selepas melancarkan program Nismilan Showcase 2021 di Nilai dekat sini, hari ini.
Pada program tersebut, beliau turut menyempurnakan prapelancaran Pesta Bola Ngoca 2021 yang berlangsung dua hari bermula 11 Disember ini di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah.
Sebanyak 128 pasukan dijangka menyertai pertandingan tersebut dan ia dimainkan di dalam petak sawah bersaiz standard gelanggang futsal.
Mengoca adalah aktiviti menangkap ikan menggunakan tangan di dalam petak sawah atau sungai dan sekiranya dimainkan di dalam petak sawah, ia dilakukan selepas padi dituai. – UTUSAN ONLINE