Sindiket diketuai 'Ibu Ani' bawa 25 pendatang tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket diketuai ‘Ibu Ani’ bawa 25 pendatang tumpas

MOHAMMAD Rosli menunjukkan lokasi tiga ejen laut dan darat ditangkap serta sebuah bot dan tiga kenderaan yang disita dalam Op Benteng ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Maritim Malaysia Selangor, Pelabuhan Klang di Klang, Selangor. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI) diketuai ‘Ibu Ani’ bersama tiga ejen laut dan darat yang membawa 25 warga asing dalam satu cubaan keluar dari negara ini melalui perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor, tumpas pada 5 November (Jumaat) lalu.

Kesemua tangkapan suspek berusia antara 20 hingga 60 tahun didakwa membawa kepada penemuan kepada rangkaian sindiket penyeludupan PATI yang aktif di Lembah Klang dan Selangor.

Pergerakan sindiket bersama ejen dan PATI itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, selepas risikan selama kira-kira lima bulan cuba mengesannya dalam pelbagai siri tangkapan PATI sebelum ini.

Risikan tersebut termasuk penemuan beberapa video testimoni oleh ejen dan PATI yang dimuat naik dalam media sosial serta dikongsikan menerusi khidmat pesanan dalam aplikasi WhatsApp.

Pengarahnya, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim mendedahkan, siasatan lanjut daripada tangkapan dalam Operasi (Op) Benteng sebelum ini turut berjaya menemukan sindiket terbabit dalam Op Khas Ejen Penyeludupan PATI.

“Tangkapan ‘Ibu Ani’ dibuat apabila Maritim Malaysia bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin mengesan tiga ejen laut di perairan Pulau Angsa dan tiga ejen darat berhampiran pantai di Sungai Janggut, Jeram, Kuala Selangor kira-kira pukul 4 pagi.

“Susulan itu, wanita warga Indonesia berusia 56 tahun terbabit berjaya dikesan dan ditangkap pada hari sama pada pukul 5.45 pagi dekat sebuah premis di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur selepas dikenal pasti detektif Bahagian Siasatan Jenayah Maritim dan Unit Perisikan Maritim Selangor,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohammad Rosli menambah, dalam tangkapan itu, turut dirampas sebuah bot, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), dua buah van dan beberapa telefon bimbit dengan nilai keseluruhan hampir RM450,000.

Katanya, sindiket terbabit adalah terancang kerana menyusun pergerakan perjalanan PATI termasuk tempat penginapan, transit, makan dan minum serta kenderaan darat dan laut bagi pergerakan mereka melalui jalan tidak sah.

“Sindiket ‘Ibu Ani’ dan beberapa sindiket dikenal pasti diketuai oleh tekong darat yang berada di sebuah pekan persisiran pantai barat Indonesia.

“Malah, sindiket terbabit juga mengaut keuntungan apabila mengenakan bayaran sehingga RM2,000 kepada PATI yang mahu keluar atau masuk ke negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu Mohammad Rosli memaklumkan, sindiket terbabit juga sukar dikesan kerana berselindung di sebalik orang awam dan menggunakan perkhidmatan pemandu e-hailing yang bersekongkol dengan mereka.

“Menerusi pergerakan terancang itu, PATI akan berada di tempat penginapan dan penampungan selama tiga hari sebelum berkumpul di pantai dan dibawa menaiki bot menuju ke destinasi mereka,” katanya.

Kesemua suspek ditahan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959.

Terdahulu Utusan Malaysia mendedahkan risikan Maritim Malaysia Selangor mendapati hampir 3,000 PATI dari Indonesia menunggu giliran untuk melepasi perairan Selat Melaka bagi memasuki negara ini secara haram sehingga hujung tahun ini.

Jumlah berkenaan dikesan sejak sektor ekonomi negara kembali dibuka pada Ogos lalu dan pergerakan rentas negeri dibenarkan pada Oktober.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN